PSB Online – Baru-baru ini Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) melalui Unit Latihan & Sistem Kualiti, Bahagian Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Bengkel Komunikasi dalam Kepimpinan pada 22 Jun 2023 bermula jam 9.00 pagi.
Bengkel ini telah diadakan di Makmal Komputer 2, Bangunan Tambahan, PSB dan fasilitator jemputan adalah Prof. Dr. Che Su binti Mustaffa, Pensyarah Universiti dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, UUM. Melibatkan semua pegawai gred 41 dan ke atas, kesemua peserta didedahkan dengan perkongsian menarik mengenai topik komunikasi yang baik seperti apa itu maksud komunikasi yang sebenar, jenis-jenis komunikasi, apakah penghalang kepada komunikasi yang baik dan lain-lain lagi. Selain itu juga, bengkel ini turut menerapkan nilai-nilai komunikasi dalam kepimpinan kerana komunikasi yang baik semasa di tempat kerja juga adalah amat penting sekali untuk mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan oleh sesebuah institusi. Oleh yang demikian, seorang pemimpin harus tahu menyampaikan arahan dan maklumat yang betul agar kesefahaman terjalin sesama rakan sekerja dan staf.
Justeru, bengkel ini menjadi lebih menarik apabila tidak hanya berucap, malah ianya diselitkan dengan latihan amali yang melatih peserta dalam menonjolkan sifat-sifat sebagai seorang pemimpin yang baik seperti aktiviti secara berkumpulan seperti menterjemah arahan seorang ketua yang dilantik ke dalam bentuk lukisan. Latihan ini melatih ketua kumpulan untuk memberi arahan yang tepat dan membimbing ahli kumpulan ke arah mencapai keseragaman jawapan semua ahli kumpulan mengikut kehendak soalan. Latihan ini juga turut membantu ahli kumpulan yang lain untuk mendengar arahan dengan baik serta fokus dengan apa yang diarahkan oleh seorang ketua. Antara aktiviti menarik yang lain adalah aktiviti melipat dan mengoyak kertas apabila seorang ketua dijemput ke hadapan untuk mengetuai aktiviti tersebut dan hasil lipatan tersebut haruslah sama seperti yang ditunjukkan.
Semoga pelbagai input positif yang dikongsikan dapat diserap dengan baik melalui bengkel ini dengan apa yang disampaikan oleh Pensyarah berpengalaman seperti Prof. Dr. Che Su Mustaffa sedikit sebanyak mampu memperbaiki kaedah berkomunikasi yang baik di kalangan para peserta terutamanya apabila bekerja.
Bengkel ini tamat sekitar jam 12.30 tengahari.
Disediakan oleh: Noraini Binti Alias
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Asyraf Bin Syed Ismail