
PSB ONLINE: 10 April 2025 -Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan Bengkel Literasi Maklumat bersama Kolej Vokasional Kerian, Bagan Serai, Perak. Bengkel ini diadakan di Makmal 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dengan penyertaan seramai 36 orang pelajar dan 4 orang pensyarah dari kolej tersebut.
Penceramah utama, Puan Fadzilah Hussin, pustakawan berpengalaman dari Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Pengguna, telah berkongsi pengetahuan dan kemahiran penting dalam literasi maklumat. Beliau menekankan kepentingan mengakses, menilai, dan menggunakan maklumat dengan berkesan.
Sepanjang bengkel, para pelajar dan pensyarah didedahkan kepada pelbagai teknik dan strategi untuk pencarian dan pengesanan maklumat yang relevan, menilai kesahihan sumber, serta menggunakan maklumat tersebut dalam tugasan akademik dan projek mereka. Aktiviti interaktif dan sesi soal jawab turut diadakan untuk memastikan peserta memahami dan dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha PSB untuk meningkatkan literasi maklumat dalam kalangan pelajar vokasional untuk menghadapi cabaran lambakan maklumat pada zaman sekarang.
Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan para pelajar akan lebih yakin dan berkemahiran dalam menguruskan maklumat, serta mampu menggunakan sumber maklumat dengan bijak untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya mereka.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail