BENGKEL M.A.H.I. BERSAMA KETUA JABATAN DIETETIK DAN SAJIAN, INS. KANSER NEGARA (IKN)

PSB Online – Bengkel kesihatan M.A.H.I. Makan Apa Hari Ini? Istimewa Bersama Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian dari Institut Kanser Negara, Pn. Zuwariah Abd Rahman telah berjaya dianjurkan pada 29 Jun 2021 yang lalu.

Menerusi Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), bengkel ini telah diadakan pada jam 9.30 pagi secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex. Menyampaikan kandungan taklimat dengan santai, Pn. Zuwariah memulakan dengan sedikit maklumat mengenai latar belakang beliau. Menurutnya, beliau berasal dari Terengganu dan sebelum berkhidmat bersama Institut Kanser Negara (IKN), beliau terlebih dahulu pernah berkhidmat bersama beberapa buah hospital swasta dan kerajaan di dalam negara antaranya adalah Hospital Taiping.

Berkongsi mengenai latar belakang tempat beliau berkhidmat iaitu Institut Kanser Negara (IKN) yang terletak di presint 7, Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkongsi mengenai carta organisasi dan juga misi Jabatan Dietetik dan Sajian (JDS). Tambah beliau, “JDS ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan dietetik klinikal dan perkhidmatan makanan yang terbaik untuk pesakit kanser mengikut amalan evidence based yang terkini, selain menjadi pusat pembelajaran dan latihan kepakaran dalam pengurusan dietetik klinikal dan perkhidmatan makanan kepada pelbagai kategori anggota kesihatan. JDS juga turut menjalankan kajian meliputi aspek dietetik klinikal dan perkhidmatan makanan dalam penjagaan pesakit kanser”. Tambahnya lagi “semua pesakit dalaman akan diberi khidmat Medical Nutrition Therapy (MNT) oleh Pegawai Dietetik yang ditetapkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Pesakit luar yang dirujuk akan mendapat khidmat Medical Nutrition Therapy (MNT) oleh Pegawai Dietetik yang ditetapkan mengikut temujanji dan masa yang ditetapkan. Pelanggan akan dihidangkan dengan makanan yang selamat, mencukupi dan berkhasiat mengikut pesanan dari wad berdasarkan peraturan dan pekeliling yang telah ditetapkan. Makanan akan dihidang kepada pelanggan mengikut masa yang telah ditetapkan”.

Menyambung sesi taklimat beliau mengenai Makan Apa Hari Ini?, beliau berkongsi mengenai proses mencapai BMI yang ideal selain berkongsi bersama semua peserta mengenai Panduan Diet Malaysia 2010. Panduan ini adalah bertujuan untuk menyediakan nasihat bagaimana untuk mempromosikan makan secara sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat, ianya mengandungi 14 mesej utama (key message) antaranya adalah makan pelbagai jenis makanan mengikut saranan pengambilan anda, kekalkan berat badan dalam lingungan yang sihat, aktif secara fizikal setiap hari, makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari dan  banyak lagi. Beliau berkata, amat sedih apabila kajian National Health Morbidity Survey oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa dewasa di Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan. Keputusan ini adalah disebabkan oleh tabiat pemakanan rakyat Malaysia yang tidak seimbang seperti sarapan roti canai, nasi lemak (timun tipikal 1-2 potong sahaja), makanan tengahari nasi berlauk (kadang-kadang sahaja ambil sayur, itupun hanya segenggam sahaja), makan malam seperti bihun goreng, nasi goreng yang kurang sayur dan pengambilan snek seperti keropok, kuih-muih dan lain-lain. Ini semua menyumbang kepada masalah kesihatan yang merisikokan nyawa.

Selain daripada berkongsi mengenai pemakanan yang sihat seperti piramid makanan Malaysia 2020 dan panduan pengambilan makanan harian, Pn. Zuwariah juga menunjukkan kepada semua peserta mengenai statistik kanser paling aktif di Malaysia. Antara yang tertinggi adalah kanser payudara, colorectal, trachea, bronchus and lung, lymphoma dan beberapa lagi. Oleh itu, beliau turut menyelit kaedah penjagaan bagi mencegah kanser seperti dengan menjaga berat ideal, makan secara sihat, mengamalkan gaya hidup aktif, mengurangkan makan manis, mengurangkan makan daging merah, tidak mengambil minuman beralkohol, mengurangkan makan makan segera dalam lain-lain lagi. Selain daripada itu, beliau berkata antara rawatan kanser yang ada adalah seperti terapi hormon, pembedahan, pemindahan tulang sumsum, kimoterapi, terapi tersasar, terapi radiasi dan terapi imun. Pn. Zuwariah juga menyeru semua peserta untuk menyahut seruan Kementerian Kesihatan yang telah melancarkan kempen berjalan 10,000 langkah bagi menggalakkan masyarakat menjalani hidup lebih sihat dan aktif.

Amat banyak sekali ilmu dan pengetahuan mengenai kesihatan telah berjaya diketahui melalui bengkel ini. Seramai 62 orang peserta telah turut serta di dalam bengkel ini dan mereka juga aktif bertanyakan soalan melalui ruangan chatbox yang tersedia. Kesemua soalan juga telah berjaya dijawab dengan baik oleh penceramah jemputan. Bengkel ini berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.

 

Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias