BENGKEL MINDA SIHAT BANTU STAF MEMAHAMI PERSONALITI DIRI DAN RAKAN SEKERJA

PSB Online  –  Kesejahteraan dan kesihatan minda pekerja  yang sihat dan positif  mampu mempertingkatkan kualiti dan produktiviti pekerja dalam sesebuah organisasi. Majikan yang menitik berat  kesihatan fizikal dan mental  kakitangannya akan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan tidak mengabaikan  aktiviti-aktiviti yang dapat menggalakkan kesihatan minda di tempat kerja. Justeru itu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) melalui Unit Latihan dan Kualiti dengan kerjasama  Jawatankuasa Risiko telah menganjurkan Bengkel Kesihatan Minda siri 1 pada  6 April 2021, bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB.

Bengkel  ini telah dihadiri oleh seramai 40 orang  staf PSB yang  dicalonkan  oleh Ketua Bahagian  masing-masing. Bagi siri 1 ini tajuk yang dipilih ialah “ I Am Perfectionist” dan telah dikendalikan oleh 2 orang Fasilitator  iaitu Puan Noorul ‘Adilah Che Hamzah, Pegawai Psikologi Jabatan  Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia ( UUM ) bersama pembantunya iaitu Encik Fauzan.

Objektif  penganjuran bengkel ini adalah untuk  memberi pendedahan mengenai personaliti dan tingkahlaku seorang  ‘perfectionist’ dan bagaimana cara untuk memahami dan menangani tingkahlaku ini di tempat kerja ataupun dalam kehidupan seharian.  Bengkel ini dimulai dengan pengenalan kepada  apa itu personaliti  ‘perfectionist’ dan ciri- ciri seorang ‘perfectionist’. Seterusnya semua peserta telah diminta untuk menjawab ujian personaliti di laman sesawang  ‘verywellmind’  untuk mengetahui profil personaliti diri masing-masing. Menurut Puan Adilah “dalam hidup ini, kita tidak seharusnya menetapkan matlamat menjadi seorang ‘perfectionist” kerana matlamat itu sukar  dan  di luar capaian dan kemampuan  kita. Seorang  ‘perfectionist’ sangat takut akan kegagalan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan dan tidak dapat bertolak ansur dengan  kegagalan diri sendiri“.

Di samping berkongsi ilmu pengetahuan mengenai tingkahlaku ‘perfectionist’, Puan Adilah juga turut berkongsi cerita menarik mengenai kes-kes personaliti  sebegini di kalangan pelajar UUM yang telah ditangani sepanjang perkhidmatannya. Menurutnya, “Kebanyakkan kes pelajar ‘perfectionist‘ ini berakhir dengan pelajar itu gagal menamatkan pengajian di UUM kerana tidak boleh menerima hakikat keputusan peperiksaan  tidak sempurna seperti yang disasarkan. Situasi ini  amat menyedihkan kerana  mereka ini adalah modal insan yang pintar,  berprestasi tinggi  dan mempunyai masa hadapan yang cerah”.

Bengkel yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan  sesi soal jawab dan penyampaian  cenderahati kepada penceramah oleh Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil,  Penolong  Ketua Pustakawan, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan  Maklumat  Ilmiah.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar oleh :  Abdul Hadi Mat Taib.