BENGKEL PELAN PERANCANGAN STRATEGIK DAN PEMURNIAN : SIRI 1

PSB Online: Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pelan Perancangan Strategik PSB Siri 1 pada 10 ogos 2020 yang lalu.

Penceramah jemputan adalah Prof. Madya Dr. Che Azlan Bin Taib yang dijemput khas daripada Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan untuk berkongsi serta membimbing PSB mengorak langkah ke hadapan dengan penyediaan Pelan Strategik yang mapan. Antara intipati bengkel oleh penceramah jemputan adalah mengenai pengurusan strategik. Menurut beliau, terdapat 3 komponen utama di dalam pelan strategik seperti formulasi, pelaksanaan dan penilaian. Tambah beliau lagi, proses pengurusan strategik adalah merupakan proses formulasi perancangan strategik dan pelaksanaan perancangan tersebut melibatkan proses analisis strategik, pemilihan strategik dan juga implementasi strategik. Penerangan secara teori dan praktikal ini telah disampaikan kepada kesemua 40 peserta yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian dan Unit di PSB bertempat di Ruang Latihan Paras 3, Bangunan Utama PSB.

Manakala pada 12 Ogos 2020 pula telah diadakan Bengkel Pemurnian Pelan Perancangan Strategik Siri 1.  Fasilitator yang mengetuai bengkel ini adalah En. Razak Bin Siamin iaitu Timbalan Ketua Pustakawan PSB. Berdasarkan dapatan input daripada bengkel bertarikh 10 Ogos yang lalu, kesemua peserta yang terlibat telah menjana strategi dengan menggunakan analisa TOWS Matrik. Melalui kaedah ini, sesebuah organisasi dapat menjana strategi yang menggunakan kekuatan mereka ke arah memaksimumkan peluang dan meminimakan ancaman yang ada. Selain itu juga, ianya turut boleh menjana strategi yang meminimakan kelemahan dengan mengoptimumkan peluang yang ada serta meminimakan kelemahan untuk mengelak ancaman luar. Setelah itu, kesemua peserta diminta untuk membentangkan hasil dapatan bersama kumpulan masing-masing untuk dibincang bersama-sama bagi tujuan penambahbaikan.

Kedua-dua bengkel ini berakhir sekitar jam 1 tengahari dan Bengkel Pelan Perancangan Strategik dan Pemurnian Siri 2 pula bakal diadakan tidak lama lagi. Semoga segala input yang diperolehi daripada bengkel ini dapat diterjemah kepada keunggulan serta kejayaan  PSB di masa akan datang.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias