BENGKEL PEMANTAPAN PERPUSTAKAAN 2030 : STAR LIBRARY JANA IDEA-IDEA BAHARU

PSB Online – Hala Tuju adalah satu penentuan matlamat bagi memastikan kejayaan sesebuah organisasi dan merancang strategi bagi mencapai matlamat tersebut. Pada 31 Mac 2022 telah diadakan satu Bengkel Pemantapan Perpustakaan 2030: Star Library bertempat di Bilik Academic Learning Commons, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Fasilitator bagi bengkel ini adalah En. Ku Azhar Ku Saud, Pustakawan Kanan dari Bahagian Sistem Maklumat serta dibantu oleh Pn. Zuraidah Darus. Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk mendengar idea-idea baharu dari Pustakawan dan Penolong Pustakawan junior yang terlibat mengenai hala tuju perpustakaan pada tahun 2030 nanti. Pada sesi ini, kesemua peserta diminta untuk berimaginasi untuk membayangkan keadaan perpustakaan 8 tahun ke hadapan mengikut kehendak masing-masing seiring dengan gambaran peredaran masa dan teknologi serta minat pengguna.

Sepanjang 3 jam bengkel berlangsung, pelbagai cetusan dan lontaran idea telah diberikan antaranya adalah idea pembaharuan ruangan perpustakaan dengan lebih futuristik dan mesra pengguna generasi akan datang. Perpustakaan juga disarankan untuk memodenkan rupa dengan menyediakan ruangan yang lebih ceria serta mempunyai daya penarik di pintu masuk perpustakaan sebagai simbol utama. Selain dekorasi, penyediaan ruangan-ruangan seperti ‘green screen room’, sewaan barangan atau alatan teknologi seperti komputer riba, kamera digital seperti Go Pro, mesin pencetak dan lain-lain adalah salah satu faktor yang amat menggalakkan untuk pengguna hadir ke perpustakaan.

Perpustakaan juga dirasakan perlu mengoptimumkan penggunaan ruangan dengan lebih efektif. Antara idea yang diutarakan adalah untuk menjalinkan kolaborasi dengan syarikat swasta atau organisasi lain yang berkepentingan kepada pengguna sebagai daya penarik. Selain dapat menjadi tempat tumpuan, perpustakaan juga dapat menambah pendapatan dengan sewaan ruangan melalui persetujuan bersama.

Kesemua idea yang telah diberi akan dibawa dan dibentang kepada pihak Pengurusan Perpustakaan untuk diteliti dan dibincangkan. Pihak Pengurusan menyokong idea-idea baharu untuk dilaksanakan demi kepentingan bersama, namun faktor kewangan serta dokongan kepada teras masa hadapan universiti juga perlu diambil kira dalam merealisasikan idea-idea tersebut.

Semoga PSB akan terus kekal relevan dalam mengharungi arus pemodenan teknologi dan perubahan generasi menjelang tahun 2030 nanti serta berjaya menjadi sebuah jabatan yang cemerlang dan tumpuan pengguna. Bengkel ini tamat sekitar jam 12.30 tengahari.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias