BENGKEL “SIERRA CREATE LIST” BANTU TAMBAHBAIK PROSES KERJA

PSB Online –  Baru-baru ini, Unit Latihan dan Kualiti telah menganjurkan Bengkel Sierra Create List pada 18 Januari 2023.

Bengkel ini telah diadakan di Makmal Komputer 1, Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan telah dihadiri oleh seramai 9 orang peserta yang terdiri daripada staf Bahagian Perkhidmatan Pengguna (BPP).

Sierra adalah sebuah Sistem Integrasi Perpustakaan yang diguna oleh PSB untuk melaksanakan keseluruhan operasi perpustakaan termasuk penyampaian servis kepada pengguna. Menurut Fasilitator bengkel iaitu Pn. Zuraidah Darus, Ketua Unit Sistem Komputer Perpustakaan, bengkel ini adalah berkaitan modul kerja sirkulasi di Bahagian Perkhidmatan Pengguna yang memfokuskan kepada proses kerja bahan yang berstatus due dan billed. Dengan dibantu oleh Pn. Siti Norain Ismail, Pustakawan dari bahagian yang sama, bengkel ini diberi secara hands on dengan tunjuk ajar kaedah menggunakan fungsi create list untuk bahan berstatus overdue, billed dan cara mengeluarkan senarai graduan tamat pengajian menggunakan sistem Sierra.

Antara kepentingan bengkel ini diadakan adalah untuk menambahbaik proses kerja sedia ada dan melancarkan kerja-kerja bahagian selain untuk memastikan pengguna lebih peka kepada tempoh pinjaman buku mereka dan meningkatkan kesedaran pengguna untuk memulangkan buku sebelum tempoh pengajian berakhir bagi kelancaran proses konvokesyen. Jika sebelum ini, peringatan untuk memulangkan buku dilakukan melalui penghantaran emel secara berkala, kini petugas di bahagian ini boleh melakukannya menggunakan sistem Sierra secara lebih efektif dan efisien selain dapat menjana laporan dengan lebih cepat.

Dengan penganjuran bengkel ini, besar harapan agar perkhidmatan kepada pengguna dapat diberi dan dilaksanakan dengan lebih berkualiti selepas ini. Bengkel ini tamat sekitar jam 1.00 tengahari.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Unit Latihan dan Kualiti