PSB Online – Apabila sampai waktunya kita akan bersara dari rutin pekerjaan seperti apa yang kita mahu dan seperti apa yang kita rancang. Tetapi ada kalanya kita hanya mampu merancang sedangkan perancangan yang hakiki adalah milik Allah swt. Begitulah yang terjadi dalam jalur kehidupan Puan Zuhaida Md. Zain. Yang dirancang adalah beliau masih mahu meneruskan perkhidmatan dan akan melabuhkan tirai kerjayanya sebagai Pembantu Pustakawan dalam tempoh 6 tahun lagi.
Namun tetapi, Allah yang Maha Bijaksana berkehendak dan menulis jalan cerita yang lain. Oleh kerana keadaan kesihatan ibu puan Zuhaida semakin merosot dan memerlukan perhatian penuh dari seorang anak perempuan, beliau memutuskan untuk bersara awal demi untuk melaksanakan tanggungjawab dan berbakti kepada ibunya yang tidak sihat dan ketika itu berada di Sungai Buluh, Selangor.
Sekali lagi, ketetapan dan ketentuan Allah berlaku tidak seperti yang direncanakan. Ketika Puan Zuhaida menghitung hari menunggu detik-detik persaraan, ibu yang tercinta telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah pada bulan Februari 2023 iaitu 2 bulan sebelum beliau sempat berkhidmat kepada ibunya seperti yang dirancang. Bagaimanapun beliau pasrah dan redha menerima ketentuan Ilahi.
Pada hari ini, tepat pukul 3.00 petang pada 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadan 1444H dan seiring dengan pilihan yang dibuat pada Julai 2022 yang lalu, Puan Zuhaida Md Zain telah mengetik kad perakam waktu terakhirnya sebagai seorang Pembantu Pustakawan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Pejam celik, katanya, tak terasa beliau telah bertugas selama 33 tahun dalam dunia Perpustakaan. Dalam tempoh itu, beliau telah bertugas di 8 unit yang berbeza dengan yang terakhir adalah di Unit Pengurusan Koleksi, Bahagian Sumber Ilmu. Menurut Zuhaida, beliau mula melapor diri sebagai Penyemak Perpustakaan (S9) pada Disember 1990 di Kampus Sementara Jitra. Dalam kalangan warga PSB, beliau adalah “otai” Kampus Jitra yang masih bertugas di PSB. Majoriti staf “otai” Kampus Jitra di kalangan warga PSB ini kebanyakannya telahpun bersara. Ada yang bersara wajib dan ada yang bersara pilihan. Katanya lagi, pada tahun 1994 beliau telah dilantik ke jawatan Pembantu Perpustakaan (S7) Khas Untuk Penyandang (KUP) iaitu kenaikan pangkat secara lantikan kerana skim jawatan Penyemak Perpustakaan telah dijumudkan. Manakala pada tahun 2016, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Pustakawan Kanan (S22) dan kali ini adalah kenaikan secara time-based.
Merenung kembali suka-duka berbakti kepada Perpustakaan, Zuhaida adalah seorang insan yang berjiwa kental, tidak mudah goyah dan berhati waja. Beliau mudah didekati dan bergaul mesra sesama rakan sejawat dan mudah membantu memudahkan urusan orang lain ketika rakan-rakan memohon pertolongan terutama untuk menyempurnakan tugasan syif. Sesungguhnya ketiadaan beliau di PSB adalah suatu kehilangan besar dan pasti akan dirindui.
Warga Kerja PSB mengucapkan selamat menikmati dunia persaraan buat Puan Zuhaida.Semoga apa yang dirancang untuk pengisian masa terluang pasca persaraan berjalan lancar seperti yang dihajati. Seandainya apa yang dirancang berlaku sebaliknya, ingatlah pesanan kami warga PSB seperti petikan ayat Al-Qur’an berikut: “Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik baik Perancang “ ( Surah Ali Imran : 54).
Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad
Gambar : Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail