CORETAN PENGALAMAN COVID-19: “BERBUDI PADA TANAH : PKP BERI PERSPEKTIF BAHARU”

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac 2020 yang lalu adalah merupakan titik tolak kepada permulaan kehidupan ‘new normal’ yang baharu. Ramai yang terkesan dengan keadaan negara ketika ini kerana ianya merupakan sejarah baharu buat negara Malaysia bahkan turut tercatat di jurnal sejarah dunia. Menyingkap keadaan ini dengan lebih mendalam, ikuti penulisan coretan pengalaman oleh seorang Pembantu Pustakawan Kanan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) berhubung perkara ini yang merubah kehidupan sehariannya  dengan perspektif baharu.

Coretan Pengalaman oleh Cik Azniza Ahmad:

“Siapa pernah menjangka bahawa 17 Mac 2020 merupakan hari terakhir kehidupan bebas yang dinikmati selama ini terhenti seketika. Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, semua pergerakan terbatas dan dikehendaki untuk kekal duduk di rumah dengan tujuan untuk mematikan rantaian penyebaran wabak Coronavirus atau lebih dikenali dengan Covid-19. Apakah hikmah disebalik krisis penularan wabak ini yang mengkucar-kacirkan dunia? Mungkinkah ia antara lain mahu menyediakan kita dengan ruang untuk berhenti sebentar supaya dapat muhasabah dan memperbaiki diri? Ya, mungkin juga, ini kerana selama ini kita hanyut dengan segala kesibukan dunia yang tidak pernah ada titik noktahnya.

Bagi penulis sendiri, “Sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 18 Mac 2020 dan kemudian dilanjutkan lagi tempohnya sehingga 14 April 2020 dan siapa tahu mungkin juga akan dilanjutkan ke tarikh tertentu lagi ekoran peningkatan kes setiap hari, banyak memberi pengajaran berharga peri pentingnya manfaat berbudi kepada tanah hatta luasnya cuma sekangkang kera di perkarangan rumah. Pengajaran itu datang secara tidak langsung dari tajuk utama muka hadapan akhbar Sinar Ahad, 29 Mac 2020,” Rintihan Dari Tanah Tinggi”. Rencana 2 muka surat yang mengkhabarkan semua sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga yang dituai gagal untuk dipasarkan ke semua pasar-pasar borong di Malaysia akibat PKP. Semua sayur, buah dan bunga sebanyak 500 tan metrik tersebut terpaksa dimusnahkan dan kerugian yang ditanggung adalah sebanyak lebih dari RM1 juta sehari.

Terdetik di hati penulis bagaimana sekiranya tempoh PKP ini dilanjutkan lagi atau diperketatkan, apakah akan ada sayur untuk dibeli seperti selalu? Bagaimana jika tiada langsung sayur dan buah buahan yang dijual? Penulis merenung sekeliling halaman rumah yang begitu segar menghijau dengan pokok-pokok hiasan beraneka jenis yang secara zahirnya tidak boleh dijadikan sayur untuk dimakan. Manakan mungkin pokok bunga kertas atau pokok orkid dijadikan sayur atau sup untuk dimakan?. Ianya hanyalah sekadar untuk hiasan demi keindahan landskap rumah sahaja.

Merenung ke luar jendela, bertentangan dengan rumah penulis, di seberang jalan sana, dengan keluasan tanah yang sama, tinggal satu keluarga keturunan Tionghua, Mei Yin nama nyonya itu atau lebih sinonim dengan panggilan “Ah Yin”. Beliau berjaya memanfaatkan sekeliling rumahnya dengan kebun mini yang penuh dengan segala sayuran hijau, ulam- ulaman, tanaman herba dan buah-buahan. Kebanyakkan pokok yang ditanam adalah untuk kegunaan sendiri dan ada kalanya penulis melihat Ah Yin tidak kedekut berkongsi sayurannya dengan sesama jiran yang lain. Hasil pemerhatian penulis, antara sayur yang ditanam adalah kucai, bayam, kecur manis, kangkung, sawi, saderi, kundur, serai, halia, ulam raja, nanas dan betik.

Sesekali terlintas di fikiran, sekiranya berlaku krisis makanan akibat masalah Covid-19 ini berpanjangan, Ah Yin tidak akan panik dan gusar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ini kerana semua sumber pemakanan berkhasiat ada di halaman rumah beliau dan hanya menunggu untuk dipetik sahaja untuk dimasak. Malah Ah Yin tidak perlu risau akan masalah keracunan toksik pada semua sayuran itu kerana segala baja atau jenis racun serangga yang digunakan pada sayuran yang dimakan kerana beliau sendirilah yang  menanam dan menjaga pertumbuhan semua sayuran itu selama ini.

Bertolak dari situ, penulis dan ahli keluarga bersepakat untuk memanfaatkan masa terluang PKP yang masih ada ini dengan berdikit-dikit belajar menanam benih bayam dan cili padi sebagai permulaan. Syukur Alhamdulilah, aktiviti ini selain dapat berbudi kepada tanah ianya dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga yang lain ketika menjalankan aktiviti berkebun ini. Semoga kita semua dapat mengharungi pandemik wabak COVID-19 ini dengan positif”.

Begitu coretan yang amat bermanfaat oleh saudari Azniza Ahmad dalam usaha positif beliau menghadapi PKP ini. Semoga tulisan beliau ini dapat membuka minda dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus memanfaatkan masa yang terluang.

Sekian.

 

Disediakan dan gambar oleh: Azniza Ahmad

Disunting oleh: Noraini Alias