UUM ONLINE: Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya pensyarah dan pelajar disarankan agar memanfaatkan perkhidmatan eBooks dan LibGuides sebagai satu kaedah terbaik dan pantas untuk akses kepada bahan-bahan ilmiah dari seluruh dunia.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perubahan teknologi yang sangat pesat telah mengubah lanskap pendidikan negara dan seiring dengan perkembangan tersebut juga, UUM tidak ketinggalan untuk memastikan pelajar dan staf di universiti ini mendapat perkhidmatan yang terbaik.
Menurutnya, bagi memanfaatkan perkembangan teknologi itu, UUM menerusi Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menyediakan perkhidmatan eBooks dan LibGuides yang merupakan sumber elektronik bagi membantu pelajar dan pensyarah untuk mengakses maklumat secara dalam talian walau dimana jua mereka berada.
Katanya, dengan langganan pelbagai jenis eBooks seperti Proquest, EbscoHost dan Science Direct, pihak universiti akan memastikan setiap koleksi buku mahupun jurnal sentiasa yang terbaru dan terkini, malah beliau yakin dengan keupayaan PSB untuk terus menyediakan bahan ilmiah dan rujukan yang terbaik di universiti ini.
“Saya juga berharap pelajar dan pensyarah juga dapat meneroka serta memanfaatkan sebaik mungkin LibGuides sebagai panduan maklumat yang membantu menentukan sumber yang relevan berdasarkan subjek dan topik. Gunakan semaksima mungkin ilmu yang ada apabila universiti telah menyediakan akses pantas dan mudah ini.
“Banyakkan juga membaca dan bacalah dengan hati yang jujur. Malah, universiti sentiasa komited memastikan pelajar mendapat yang terbaik untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan kelangsungan negara yang bergantung kepada pelajar yang dilahirkan oleh universiti,” katanya pada Majlis Pelancaran eBooks dan LibGuides di Foyer PSB, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pustakawan, Salleh Hudin Mustaffa berkata, pandemik Covid-19 dan juga perubahan teknologi telah mendorong PSB untuk meningkatkan lagi akses kepada bahan ilmiah seperti jurnal dan buku.
Menurutnya, eBooks merupakan sumber pembelajaran elektronik yang memudahkan pelajar untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas menggunakan teknologi masa kini.
Katanya, platform tersebut merupakan kaedah yang terbaik dan pantas terutama apabila pelajar kini masih dalam sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR).
“Dengan adanya perkhidmatan ini, pelajar mahupun pensyarah dapat akses kepada semua sumber yang relevan bukan sahaja dari dalam negara malah seluruh dunia.
“Bagi memastikan PSB terus menawarkan perkhidmatan berkualiti, kita juga akan mempromosikan penggunaan perkhidmatan yang disediakan ini di laman sesawang dan media sosial agar lebih ramai yang menggunakan eBooks dan juga LibGuides,” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan tayangan video pengenalan eBooks oleh Pengurus Kanan Akaun, ProQuest Asia Tenggara, Henry Lok dan tayangan montaj eBooks serta LibGuides.
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil