EMERALD IKTIRAF UUM KE-11 TERBAIK DUNIA, KEDUA TERBAIK DI MALAYSIA

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah tersendiri dengan memenangi 3 kategori yang diiktiraf oleh Emerald Publishing, sekali gus meletakkan UUM ke-11 terbaik dunia dan kedua terbaik di Malaysia.

Keputusan ini diumumkan oleh Emerald Publishing East Asia dalam program Emerald Conference 2021 yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kejayaan ini meletakkan UUM pada kedudukan ke-11 dunia bagi kategori High Usage Award 2021 – Global dan di tangga kedua di Malaysia selepas Universiti Malaya bagi kategori ‘High Research Output Award 2021 Malaysia’.

Menurutnya, dengan pencapaian itu juga UUM telah mendahului  universiti penyelidikan (RU) tersohor lain seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Lebih membanggakan, UUM turut muncul sebagai institusi awam kedua di Malaysia untuk kategori ‘High Usage Award 2021 Malaysia – Public Institutions’ manakala Universiti Teknologi MARA di tempat pertama dan UTM di tempat ketiga.

“Saya amat berbangga di atas kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi sehingga hari ini. Segala usaha yang dilakukan setiap tahun membuahkan hasil yang tidak sia-sia. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Beliau berharap kejayaan yang diperoleh sekarang tidak meletakkan UUM berada di zon selesa, sebaliknya terus bekerja kuat bagi memastikan universiti ini terus gah dan dipandang tinggi di seluruh dunia.

 

Disediakan oleh : Siti Fatimah Abdullah

Sumber berita : Unit Komunikasi Korporat UUM