
Sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia ini Badan Kebajikan Dan Amal (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menganjurkan satu sesi ceramah yang bertajuk “Gerbang Ramadan dan Hikmahnya Kesihatan” bertempat di Auditorium 2, PSB pada 24 April 2019 bersamaan 18 Syaaban 1440 Hijrah yang lalu. Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ybhg. Ustaz Fakhrul Razi Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Arrazi.
Bermula jam 11.00 pagi, Imam Muda Arrazi menyampaikan beberapa pesanan dan ingatan kepada kita umat Islam tentang kemuliaan bulan Ramadan. Sesuai dengan tajuk ceramah, beliau menyatakan bahawa terdapat 9 perkara yang dilakukan oleh para ulama sebagai persediaan memasuki bulan Ramadan. Menurut beliau, “Antara perkara yang disebut adalah yang pertamanya berdoa apabila memasuki Bulan Rejab untuk menunjukkan pada Allah bahawa kita suka dengan kedatangan Ramadan. Yang keduanya, meletakkan keazaman yang tinggi dengan apa yang mahu direbut sepanjang bulan yang mulia ini selain mempersiapkan rohani dengan membersihkan jiwa, bertaubat dan beristighfar sebanyak mungkin. Selain itu, beliau turut berpesan untuk menjaga dan memantapkan kesihatan dan menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta ibadah.
Tidak habis di situ, Imam Muda Arrazi terus menyambung dengan pesanan seperti memperbanyakkan amalan sebagai persediaan dengan tidak membazirkan waktu berbuka selain menambah ilmu pengetahuan mengenai dosa dan pahala di bulan Ramadan. Kita juga harus merancang agenda dengan menyusun jadual seperti ingin khatam al-Quran semasa bulan Ramadan. Pesan beliau lagi, kita seharusnya menghiasi rumah dan diri dengan mewujudkan kesegaran untuk menyambut Ramadan dan yang terakhirnya kita perlu menyambut bulan mulia ini dengan meletakkan sasaran apa yang dimahukan contohnya seperti menjadi orang yang bertakwa dan melakukan yang terbaik seandainya ini adalah Ramadan yang terakhir buat kita.
Ceramah ini tamat sekitar jam 1.15 tengahari.
Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim
Gambar oleh: Mohamad Fuzi Bin Ismail