GOTONG-ROYONG PERDANA INISIATIF MEMBUDAYAKAN AMALAN 5S DI PSB

PSB Online  – Jawatankuasa Pemandu 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi telah menganjurkan aktiviti Gotong-Royong Perdana 2023 Peringkat Jabatan pada 12 dan 13 Julai 2023 yang lalu. Aktiviti ini melibatkan semua kakitangan PSB dan bermula pada jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang selama 2 hari berturut-turut.

Gotong-royong ini dilaksanakan demi mengekalkan kesinambungan peningkatan pelaksanaan amalan persekitaran berkualiti di tempat kerja di samping dapat melakukan penambahbaikan untuk mengekalkan keceriaan, kebersihan, kekemasan dan suasana kondusif yang produktif. Di samping itu aktiviti sebegini juga dilaksanakan agar dapat memenuhi kriteria penilaian 5S seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti.

Aktiviti gotong-royong kali ini sedikit berlainan apabila tumpuan tidak hanya di Zon masing-masing sahaja seperti yang dilaksanakan sebelum ini, tetapi ianya lebih memberi tumpuan kepada pemantauan kebersihan dan kekemasan keseluruhan bangunan PSB. Antara fokus dan sasaran utama gotong-royong yang ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu 5S PSB kali ini ialah untuk mengecat semula dinding di paras 2 Bangunan Tambahan dan juga mengemaskini susun atur dan informasi Sudut 5S induk  di Paras 2 Bangunan Utama. Selain itu juga, aktiviti menyelaras, memeriksa dan mengemaskini keseragaman semua papan tanda sekitar PSB juga turut dititikberatkan selain usaha memastikan longgokkan meja dan kerusi yang rosak di sudut Bilik Serbaguna sebelum ini diasingkan dan dipindahkan ke lokasi baharu untuk tindakan selanjutnya samada untuk dibaiki atau untuk dilupuskan. Antara aktiviti tumpuan lain yang turut dilaksanakan adalah memeriksa dan memastikan kebersihan Bilik Loker pelajar dan juga aktiviti  book weeding bahan rujukan untuk dipindah ke ruang stackroom bagi menjimatkan ruangan bahan di rak.

Untuk memastikan semua aktiviti yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan seperti yang dikehendaki, empat kumpulan gerak kerja yang sistematik telah dibentuk. Dengan ini, semua aktiviti telah dilaksanakan secara serentak dengan keterlibatan semua staf yang berkerja sama menggembleng tenaga tanda sokongan yang padu demi untuk mengukuhkan aktiviti amalan 5S di PSB. Program Gotong-Royong Perdana 2023 ini diharap dapat menyokong usaha dan hasrat PSB ke arah Pensijilan EKSA dan seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang produktif, bersih dan selamat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih baik dan bersistematik selaras dengan piawaian 5S.

Komitmen dan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan dan penglibatan daripada semua warga perpustakaan menjadi tunjang kepada kejayaan dan pencapaian pelaksanaan 5S di PSB selama ini dan diharap ianya berkekalan hingga selamanya

Syabas warga PSB!

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Syed Muhammad Amirul Ashraf Bin Syed Ismail