UUM ONLINE: “Jadikan Muzium Pengurusan UUM ini sebagai medan pendidikan yang mendokumentasi bahan sejarah berkaitan UUM dan juga masyarakat setempat,” kata Pengerusi Lembaga Universiti UUM, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir pada Majlis Perasmian Muzium Pengurusan UUM, pagi tadi.
Menurut beliau, penubuhan muzium itu juga adalah sebagai tempat pameran dan konservasi bahan yang diharap dapat menarik dan memikat pengunjung khususnya generasi muda untuk menghayati dan menghargai sejarah UUM dan juga sejarah setempat.
Katanya, universiti ini dibuka di atas tempat terpencil dan pernah menjadi sarang komunis suatu ketika dahulu, namun kini ia sudah menjadi medan ilmu.
“Alhamdulillah, akhirnya nama UUM tercatat dalam peta pendidikan dunia, menjana kemajuan setempat dan persekitaran sempadan.
Justeru, penubuhan muzium ini secara tidak langsung dapat menjadi pusat rujukan semua pihak untuk menelusuri sejarah universiti, malah sejarah negara juga yang terdapat di muzium ini,” katanya.
Lebih bermakna, tiga artifak bersejarah dunia iaitu pedang Laksamana Cheng Ho, pedang Muaz Bin Jabal dan topi perang zaman Khulafa Ar-Rasyidin yang dibawa khas dari Brunei menjadi tarikan utama di muzium tersebut yang mana ia dipamerkan selama sehari sahaja.
Pada majlis itu juga, Tan Sri Siti Sa’diah turut melancarkan Bulan Kebangsaan Peringkat UUM dan buku mewah ‘Landscape of Sintok’ yang mendokumentasi serta mempromosi keindahan alam semula jadi dalam kawasan penggambaran UUM dan kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, Muzium Pengurusan UUM adalah yang pertama di negara dengan konsep pengurusan, malah mungkin juga satu-satunya di Asia yang mendokumentasi khazanah ilmu dan sejarah untuk generasi masa hadapan, selain unutk proses pemuliharaan dan pemeliharaan bahan sejarah negara dan sekitar universiti.
Katanya, di muzium ini juga terdapat beberapa artifak unik yang belum dipamerkan di tempat lain, contohnya tinggal rifle milik tentera Jepun dan cebisan enjin kapal HMS Repulse yang dibom Jepun di laut Kuantan.
“Selain itu, terdapat juga artifak Kedah Tua terutamanya yang memaparkan sejarah Sungai Batu, selain koleksi seniman negara, Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin dan pemimpin negara termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya berharap muzium ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjaga bahan sejarah dan mendalami keilmuan sejarah negara dan universiti ini,” ujar beliau.
Muzium Pengurusan UUM dibuka kepada orang ramai dengan kadar bayaran masuk sebanyak RM3 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak, manakala waktu lawatan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang (Ahad-Rabu) dan 9 pagi hingga 2.30 petang (Khamis).
Disediakan oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
Sumber : Unit Komunikasi Korporat