JAWATANKUASA KUALITI PERPUSTAKAAN FOKUS PERSEDIAAN AUDIT KUALITI DALAMAN UUM

PSB Online – Bagi membincangkan persiapan menghadapi Audit Kualiti Dalaman Universiti Utara Malaysia (UUM) 2021 ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 25 dan 26 Ogos 2021 nanti, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kualiti Perpustakaan Bil.2/2021 telah diadakan.

Mesyuarat bertarikh 16 Ogos 2021 ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan iaitu En. Razak Siamin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kualiti Perpustakaan. Mesyuarat yang diadakan secara atas talian menerusi aplikasi Cisco Webex ini diadakan pada jam 9.00 pagi dan dihadiri oleh 11 orang Ahli Jawatankuasa (AJK).

Antara intipati persiapan yang perlu dititikberatkan adalah mengenai peranan PSB dalam mendokong misi dan visi UUM terutama dalam semakan dokumentasi perpustakaan berkaitan yang menyokong pembangunan dan penyampaian program akademik. Menurut En. Razak Siamin, antara bahagian yang berkemungkinan terlibat secara langsung adalah Bahagian Sumber Ilmu, Bahagian Perkhidmatan Pelanggan dan Bahagian Arkib Universiti (Unit Repositori). Oleh yang demikian, beliau memohon agar semua Ketua Bahagian terutama bahagian yang disebut untuk bersedia dalam membantu proses audit berjalan dengan lancar nanti.

Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai Daftar Risiko PSB dan status terkini tindakan yang telah diambil selain keperluan untuk membuat hebahan kepada semua staf mengenainya agar masing-masing peka akan risiko tersebut. Di kesempatan ini juga, mesyuarat turut membincangkan mengenai aktiviti yang perlu dijalankan dalam membudayakan kualiti di kalangan staf PSB selain mempelbagaikan aktiviti di bawah jawatankuasa seperti Hari Kualiti, Cetusan Idea Q, Pertandingan Mencipta Logo Kualiti dan beberapa lagi.

Mesyuarat ini diadakan selaras dengan tujuan utama jawatankuasa ini ditubuhkan iaitu antaranya adalah untuk memberi kerjasama dalam meningkatkan Sistem Pengurusan Kualiti UUM dari masa ke semasa. Semoga dengan persediaan yang dibuat PSB mampu menghadapi Audit Kualiti Dalaman UUM 2021 ini dengan cemerlang.

 

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias