KEMANFAATAN PROJEK PELAJAR LATIHAN INDUSTRI BANTU PSB DEKATI PENGGUNA ​

PSB Online – Menganalisis serta membentangkan hasil kajian mereka dalam “Sesi Pembentangan Projek Latihan Industri Kemasukan Mac 2021” yang telah diadakan pada 17 Jun 2021 adalah tugasan terakhir bagi salah seorang pelajar tersebut.

Terdiri daripada pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Cik Nur Aufa Noor Haizan bersama 2 orang lagi pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Cik Syaidatul Aziewa Mohd Ab Ghani dan Cik Puteri Nur Qistina Radzin. Sesi ini dimulakan dengan pembentangan projek berkumpulan yang bertajuk “Program Libatsama Mahasiswa dan Komuniti”.​

Projek berkumpulan ini berobjektif untuk mengeratkan hubungan di antara staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan pelajar UUM serta masyarakat setempat. Selain itu, para pelajar ini juga ingin membuktikan bahawa projek ini mampu membolehkan hubungan dua hala di antara PSB, pelajar UUM dan masyarakat setempat yang dijalankan dengan lebih efektif. Projek ini juga diharap mampu untuk menarik lebih ramai lagi pelajar UUM mahupun orang luar untuk menjadi ahli perpustakaan (LIB BUDDIES) selain mempelbagaikan perkongsian dan konten yang menarik bertujuan untuk menarik minat orang ramai justeru meningkatkan jumlah pengikut di laman sosial PSB. ​

Menerusi pembentangan mereka, projek ini dikatakan mampu memberi impak seperti meningkatkan jumlah kehadiran pelajar secara maya dan fizikal, transformasi dalam aspek media sosial, penggunaan media sosial secara menyeluruh, pustakawan memainkan peranan sebagai cybrarian, content creator, information consultant, infographic maker dan subject specialist. Antara cadangan program yang diusulkan adalah seperti Lib Buddies, Lib Buddies Family Competition, Reader’s Advisory, Book Adventures: Teaser Chapter dan banyak lagi program seumpama. Mereka juga telah menjalankan kaji selidik mengenai tahap kepuasan pengguna terhadap laman sosial rasmi PSB seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube. Dapatan soal selidik tersebut adalah menunjukkan bahawa kebanyakkan pengguna PSB sedar akan kewujudan laman sosial rasmi PSB namun tahap menarik dan kekerapan mengunjunginya adalah masih tidak memuaskan. Secara keseluruhan, projek ini terlihat menarik untuk dilaksanakan namun secara analisisnya ianya pasti lebih kemas jika data sampling diperkembangkan lagi dengan demografik yang lebih meluas.

Seusai pembentangan projek berkumpulan, projek individu bertajuk “Mycollection Space” : Muzium Pengurusan UUM” telah dibentangkan oleh Cik Nur Aufa Noor Haizan yang hari ini merupakan hari terakhir beliau bersama PSB. Beliau telah ditempatkan di bawah seliaan Muzium Pengurusan UUM iaitu di bawah Pengarah Dr. Kasri Saidon bersama beberapa pegawai dan staf yang lain. Sepanjang latihan industri ini, belia berkata bahawa beliau amat gembira dan teruja mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak Muzium Pengurusan UUM seperti penggambaran pameran semasa (pameran alatan menangkap ikan di persawahan Kedah), melakukan catatan pergerakan koleksi, konservasi terhadap piring hitan dan penandaan koleksi untuk dimasukkan ke dalam sistem repositori. Selain itu juga, beliau turut berkongsi projek yang beliau jalankan iaitu 2Mycollection Space”. Projek ini adalah merupakan sebuah Sistem Inventori Data Muzium Pengurusan UUM yang membolehkan kemasukan koleksi melalui 3 proses digitalisasi di mana bahan digital adalah lebih selamat, mudah diakses serta menjimatkan ruang.

Sejak dari dulu, PSB telah menerima ramai pelajar-pelajar latihan industri dari pelbagai universiti awam Malaysia. Setiap dari mereka dikehendaki menjalankan projek untuk kemanfaatan bersama PSB serta penggunanya. Telah banyak projek-projek yang dibentangkan yang ternyata amat berfaedah buat PSB, namun tidak semua mampu dilaksanakan secara menyeluruh. Ini disebabkan oleh pelbagai kekangan seperti kewangan, masa, tenaga kerja dan lain-lain faktor lagi. Walaubagaimanapun, PSB amat menghargai jasa dan sumbangan mereka terhadap kelestarian perpustakaan. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan dan semoga maju jaya. ​

Sesi ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar jam 10.00 pagi menerusi platform aplikasi Cisco Webex.​

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias