KENANGAN MANIS HARI TERAKHIR KU AZMI DAN NORLIZAH MENGETIK PERAKAM WAKTU DI PSB

PSB Online  – Masa begitu pantas berlalu, begitu juga sepantas itu tempoh perkhidmatan Tuan Haji Ku Azmi Ku Ibrahim, Pembantu Pustakawan dari Unit Latihan dan Sistem Kualiti dan Puan Norlizah Saad, Pembantu Tadbir dari Unit Pembangunan Sumber Ilmu melalui hari terakhir mereka berkhidmat di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Pada pukul 3.30 petang, 30 Jun 2022 yang lalu, Tuan Haji Ku Azmi dan Puan Norlizah telah mengetik perakam waktu buat kali terakhir mereka di Bangunan Utama PSB. Walaupun mereka berdua mengetik perakam waktu buat kali terakhir di PSB, tetapi haluan cerita mereka adalah berbeza.

Tuan Haji Ku Azmi telah memilih untuk bersara pilihan sebagai penjawat awam mulai 04 Julai 2022 kerana ingin memberi lebih tumpuan dan memajukan bidang perniagaan yang diceburi. Sementara Puan Norlizah pula telah ditukarkan dari PSB ke Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM). Turut hadir mengiringi dan menyaksikan detik perpisahan ini ialah  Ketua Pustakawan PSB iaitu Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa, Penolong Ketua Pustakawan dan rakan-rakan PSB yang lain. Selain itu, Barisan Ahli Majlis Jawatankuasa Kesatuan Kakitangan UUM (KESKA) turut hadir untuk mengucapkan salam perpisahan.

Mengenali sosok Tuan Haji Ku Azmi Ku Ibrahim atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ku oleh semua warga PSB dan UUM, beliau telah melapor diri untuk berkerja di UUM pada 14 Jun 1984 di Kampus Darul Aman, Jitra dan pada 30 Jun 2022 adalah hari terakhir beliau berkhidmat. Genap tempoh selama 38 tahun beliau  mencurah tenaga,  keringat dan  sumbangan bakti dalam perkhidmatan awam. Tempoh 38 tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek dan singkat. Sudah pasti dalam tempoh tersebut begitu banyak jasa  yang telah dicurahkan dalam menyaksikan  sejarah perkembangan dan kejayaan PSB yang turut menjulang nama UUM.

Selain bertugas sebagai seorang Pembantu Pustakawan yang sibuk dengan rutin kerja syif, bertugas kaunter dan susunan bahan, Pak Ku juga dikenali sangat aktif  sebagai  Presiden dalam Kesatuan Kakitangan UUM (KESKA ) dan juga Presiden dalam Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM). Selain itu beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Gred Bahan Berkanun di Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Beliau memiliki pengalaman yang amat luas tentang libat urus kerja kesatuan dengan selalu hadir dan memberi komitmen  dalam setiap program yang melibatkan KESKA, GAKUM dan CUEPACS.

Pada tahun 2013, Pak Ku telah terpilih menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland. Ini adalah satu kejayaan dan kebanggaan bagi seorang kakitangan awam dari kumpulan pelaksana untuk menghadiri satu persidangan di luar negara. Selain dari menghadiri persidangan tersebut, Pak Ku juga sempat melawat Kota Paris, Kota London dan juga  Kota Dubai. Sesungguhnya ketika berada di Eropah adalah  detik paling manis dan terindah dalam lipatan memori sepanjang kerjaya Pak Ku.

Sudah menjadi lumrah kehidupan setiap yang bertemu pasti akan berpisah, setiap yang bermula pasti akan berakhir. Persaraan bukanlah satu noktah. Sebaliknya ia menjadi satu titik permulaan kepada lembaran baharu dalam kitaran hidup seorang penjawat awam. Semoga segala kenangan sebagai seorang Pembantu Pustakawan  dan seorang Presiden KESKA menjadi memori indah yang mewarnai hidup Pak Ku. Selamat bersara Pak Ku dari kami warga Pustaka.

 

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Taib