KUMPULAN KETUK-KETANG JUARA PERTANDINGAN “CHILL OUT & HEAT UP THE PAN”

PSB Online – Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan Program Riadah BAKAL Sesi 2021/2023 pada 20 Januari 2022.

Program ini merupakan aktiviti BAKAL yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama staf PSB. Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program ini adalah aktiviti “Chill Out and Heat Up The Pan”. Aktiviti ini adalah aktiviti pertandingan memasak yang telah disertai oleh 7 buah kumpulan yang terdiri daripada ahli BAKAL.

Tahniah diucapkan kepada kumpulan Ketuk-Ketang kerana berjaya merangkul tempat pertama pertandingan. Kumpulan ini berjaya menambat hati juri dengan mempersembahkan menu Kerutuk Ayam dengan kreativiti hidangan serta kerjasama mantap sesama ahli kumpulan. Pertandingan ini menyaksikan semua peserta menunjukkan kemahiran masing-masing menyediakan hidangan yang berasaskan ayam sepertimana syarat yang telah ditetapkan.

Kesemua peserta telah diadili oleh dua orang juri berpengalaman iaitu En. Muhamad Shah Kamal Ideris, Pensyarah Kulinari dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara dan Pn. Rosidah Hosin, Pemilik Kem Sungai Batu. Para peserta diadili berdasarkan daripada pelbagai kriteria seperti rasa, kebersihan, kreativiti, kerjasama dan persembahan.

Memeriahkan lagi program adalah sesi cabutan bertuah, aktiviti memanah, susun batu dan gotong-royong mengutip sampah. Menurut En. Hisomudin Abdullah selaku Pengerusi BAKAL “Hampir 50 hadiah cabutan bertuah telah disediakan oleh barisan urusetia dan hadiah tersebut adalah hasil sumbangan dan tajaan oleh pelbagai individu di kalangan ahli BAKAL sendiri”. Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada juara dan kesemua peserta pertandingan memasak juga buat peserta yang berjaya mendapat cabutan bertuah.

Chill Out & Heat Up The Pan adalah aktiviti yang julung kali diadakan dan ianya berjaya mendapat sambutan memberangsangkan dari semua ahli BAKAL dan kerjasama yang jitu juga diberikan oleh semua barisan urusetia yang terlibat menjayakan program ini. Semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang bagi memupuk semangat ukhuwah sesama staf PSB.

 

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib