KUNJUNGAN HORMAT DATO’ DR. MASHITAH IBRAHIM KE MUZIUM PENGURUSAN UUM

Muzium Online – Pada 17 Februari 2022, Muzium Pengurusan UUM telah menerima kunjungan hormat daripada Yang Berusaha Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Pengarah Eksekutif  Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM).

Jelas terpancar keterujaan dan keceriaan di wajah beliau apabila melihat keunikan ruang pameran di Muzium Pengurusan UUM terutamanya sudut Pengurusan Islam yang mempamerkan institusi pondok, tokoh-tokoh agung dalam pengurusan islam dan yang paling menarik dan membuat beliau terpegun adalah kewujudan garis masa pengurusan islam bermula dari zaman Nabi Adam AS sehingga ke tanah Nusantara.

Kehadiran beliau dan suami turut diiringi oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Puan Noorfauziati Mat Yatim, Ketua Bahagian Muzium dan turut serta adalah pegawai-pegawai PSB serta kakitangan muzium. Sebelum itu, satu majlis ringkas penyerahan buku profil pondok telah diadakan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Pihak muzium amat berbesar hati dengan kunjungan tersebut dan amat berterima kasih atas kesudian beliau melewati setiap ruang pameran di muzium ini. Ujar beliau “Insya Allah ada masa saya akan datang lagi berkunjung ke muzium ini, tidak puas rasanya dek kekangan masa”. Terima kasih Dato’.

 

Disediakan oleh: Muzium Pengurusan UUM

Gambar oleh: Ishar Md Zain