‘LAPIK PERUT’ MERUNGKAI SEJARAH PENANAMAN PADI DI KEDAH

PSB Online –  Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu program yang diberi nama “Sembang-Sembang Dari Muzium UUM” bagi berkongsi  sejarah tentang penanaman padi di Kedah secara bersiri. Bicara santai ini telah disampaikan oleh Pengarah Muzium UUM sendiri iaitu, Dr.  Mohd Kasri Saidon.

Bakal bersiaran sebanyak 4 siri, Siri pertama ini adalah merupakan episod pengenalan dan ianya telah diadakan pada 13 Julai 2020 yang lalu,  program ini  telah bersiaran secara langsung di atas talian  melalui saluran Facebook (FB), bermula jam 11.00 pagi.

Menurut  Dr. Kasri, secara amnya, padi ditanam di seluruh Tanah Melayu terutamanya di negeri-negeri utara semenanjung  seperti, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara. Di negeri Kedah, bersawah merupakan kerja ekonomi yang begitu lama dipraktikkan dan ianya masih kekal sehingga kini. Buktinya, Kedah kini masih kekal aktif sebagai pengeluar utama beras negara  dan cukup sinonim  dengan jolokan negeri  Jelapang Padi Malaysia. Namun begitu, kemungkinan kekurangan kesedaran nilai sejarah,  generasi kini ramai yang  tidak mengambil peduli  tentang asal usul penanaman padi di Kedah walaupun nasi merupakan makanan ruji mereka. Menurutnya lagi,  bersawah wujud sebagai cara hidup yang menjadi lambang atau identiti unik masyarakat Kedah itu  sendiri. Tambah beliau lagi, ketika era penjajahan Portugis di Melaka, orang Kedah ketika itu selain bersawah untuk keperluan isi rumah sendiri, beras kedah juga pernah menjadi komoditi dagangan dengan banga Portugis  untuk keperluan bekalan makanan mereka di sana. Selain itu, Kedah juga ketika kurun ke 15 dan 16 turut membekalkan beras kepada pedagang- pedagang dan merupakan pengeksport utama beras di Nusantara.

Menelusuri sejarah , Dr Kasri menyentuh secara kasar tentang beberapa topik menarik yang akan dikupas secara lebih mendalam dalam siri-siri yang akan datang. Antaranya adalah tentang kesuburan delta Kedah dan peranannya dengan penerokaan dan penempatan penduduk. Beliau juga turut berkongsi mengenai kepentingan pembinaan Terusan Wan Muhammad Saman untuk  pengairan penanaman padi di Kedah, padi  di era penjajahan British dan  Jepun, projek buku hijau dan penanaman padi 2 kali setahun, peranan pemodal-pemodal orang Cina yang mengaut keuntungan  dan juga mengenai sistem padi kunca.

Secara keseluruhanya, sesuai dengan hasrat Dr. Kasri, program ini disampaikan secara santai, tidak terlalu formal supaya semua orang lebih tertarik dan  berminat untuk mendengar serta dapat menerima dengan jelas dan tepat apa yang ingin diceritakannya. Katanya lagi, orang Kedah terkenal dengan kehebatan mereka membuat bendang dan walau ke mana sahaja mereka berpindah, budaya membuat bendang akan dibawa bersama dan dipraktikkan di tempat baharu. Di akhir  program, beliau turut menitipkan pesan agar kita sentiasa menghargai nilia sejarah dan sesungguhnya amat rugi sekali jika  anak Kedah  tidak cakna dan berbangga  dengan identiti  dan warisan nenek moyang  zaman berzaman mereka ini.

Program ini tamat sekitar jam 11.50 pagi dan ianya dilihat mampu untuk mempromosikan Muzium Pengurusan UUM dengan lebih meluas.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar : Ihsan Muzium Pengurusan UUM