LAWATAN AUDIT EKSA ZON SINTOK : MEMACU KECEMERLANGAN PENGURUSAN PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH

PSB ONLINE: 17 April 2025 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima lawatan audit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dari Jabatan Bendahari Universiti Utara Malaysia (UUM). Delegasi audit yang terdiri daripada empat orang auditor diketuai oleh Puan Sobiroh Md. Taha, bersama tiga orang ahli jawatankuasa EKSA Jabatan Bendahari.

Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Jawatankuasa EKSA PSB yang diketuai oleh Puan Asmaniza Mansor, bersama tujuh orang ahli jawatankuasa. Lawatan dimulakan dengan sesi pengenalan ringkas oleh Puan Asmaniza Mansor, diikuti dengan sesi tinjauan ke ruang-ruang terlibat dalam pelaksanaan EKSA di PSB seperti bilik mesyuarat, pantri, ruang kerja staf, makmal, tandas, surau, dan lain-lain mengikut komponen kriteria audit EKSA.

Tujuan lawatan audit ini adalah untuk menilai keberkesanan pelaksanaan EKSA di PSB serta memastikan standard pengurusan yang tinggi terus dikekalkan. Aktiviti audit melibatkan pemeriksaan terhadap kebersihan, susun atur, dan pengurusan ruang kerja yang sistematik.

Pelaksanaan EKSA adalah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti persekitaran kerja melalui amalan kebersihan, kekemasan, dan keselamatan yang sistematik. Pelaksanaan EKSA di PSB melibatkan penjenamaan semula amalan 5S dengan penambahan elemen seperti kreativiti, inovasi, dan amalan hijau dan lebih berimej korporat.

Lawatan audit ini bertujuan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan EKSA serta memastikan standard pengurusan yang tinggi terus dikekalkan. Aktiviti tinjauan melibatkan pemeriksaan terhadap kebersihan, susun atur, dan pengurusan ruang kerja yang sistematik dan efektif. Auditor juga menilai aspek keselamatan dan keselesaan persekitaran kerja, serta kreativiti dalam susun atur ruang pejabat.

Dengan lawatan audit ini, diharapkan PSB dapat terus meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan perpustakaan, sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna perpustakaan. Lawatan audit ini juga merupakan peluang untuk memperkukuh kerjasama antara PSB dan Jabatan Bendahari UUM dalam usaha mencapai kecemerlangan pengurusan dan amalan EKSA, khususnya di Zon Sintok.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah binti Kamis
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail