
Pada 13 hingga 16 Mei 2025, seramai 6 orang staf terdiri daripada Pustakawan, Pembantu Pustakawan dan Pegawai Teknologi Maklumat Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Lawatan Penandaarasan ke Monash University Malaysia, Financial Services Library Bank Negara Malaysia, Nottingham University Malaysia dan Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Lawatan ini bertujuan untuk melihat penggunaan Sistem Pengurusan Perpustakaan(LMS) yang digunakan di institusi-institusi tersebut selari dengan objektif Bahagian Teknologi Perpustakaan Pintar dalam membuat keputusan pemilihan LMS generasi baharu yang sesuai untuk menggantikan sistem sediaada.
Pada hari pertama, lawatan dimulakan dengan kunjungan ke Monash University Malaysia dan Financial Services Library BNM yang mana kedua-duanya menggunakan sistem Alma Primo. Kemudian pada hari kedua, lawatan diteruskan ke Nottingham University Malaysia yang turut menggunakan sistem yang sama. Lawatan ini diakhiri dengan kunjungan ke Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang menggunakan sistem EKCMS.
Melalui lawatan ini, PSB berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pengguna dan pentadbir sistem yang telah menggunapakai LMS generasi baharu. Hasil daripada lawatan ini, staf PSB dapat memahami secara lebih mendalam mengenai fungsi dan kelebihan, kekurangan serta cabaran teknikal dan operasi yang dihadapi semasa perlaksanaan LMS tersebut.
Dapatan daripada lawatan penandaarasan ini, PSB dapat menilai dengan lebih teliti setelah menimbangtara kelebihan dan kekangan setiap sistem yang telah diimplementasi oleh institusi-institusi tersebut sekaligus mengurangkan risiko pemilihan sistem LMS yang tidak sesuai atau memerlukan kos tambahan untuk perlaksanaan pada masa hadapan. Selain itu, maklumat yang dikumpul juga dapat dijadikan panduan dalam merancang penambahbaikan perkhidmatan PSB sendiri khususnya dalam memperkukuhkan sistem perpustakaan yang menepati ciri sistem LMS generasi baharu.
Disediakan oleh: Nor Hazira Mat Noh ,Bahagian Teknologi dan Perpustakaan Pintar (BTPP)
Gambar oleh: Bahagian Teknologi dan Perpustakaan Pintar (BTPP)