PSB Online – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan penandaarasan dari Perpustakaan Kolej Universiti Islam Perlis atau KUIPs pada 20 Mac 2023.
Seramai 3 orang Delegasi KUIPs telah hadir dengan diketuai oleh Puan Nurul Husna binti Mat Isa, pemangku Ketua Pustakawan Perpustakaan KUIPs bersama-sama seorang Pustakawan dan Penolong Pustakawan yang lain.
Dalam sesi lawatan penandaarasan ini, Perpustakaan KUIPs memilih Perpustakaan UUM sebagai contoh untuk menambahbaik penyampaian pengurusan dan perkhidmatan mereka dalam menyediakan yang terbaik kepada penggunanya. Perpustakaan KUIPs kini memiliki sejumlah anggaran 1200 pengguna dan kini perpustakaan memiliki sebanyak lebih kurang 4000 buah koleksi untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.
Delegasi ini tiba di PSB pada jam 3.00 petang dan telah disambut baik oleh pengurusan PSB yang diketuai oleh Pn. Norma Said, Penolong Ketua Pustakawan, Bahagian Khidmat Pengurusan dengan dibantu oleh Cik Noraini Alias, Pustakawan dari Unit Komunikasi Korporat, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Ilmiah serta beberapa staf lain yang terlibat.
Satu taklimat ringkas telah diadakan di Bilik Mesyuarat Ketua Pustakawan, Paras 3, Bangunan Utama dengan sesi pengenalan serta penerangan mengenai visi dan misi perpustakaan. Antara fokus utama lawatan adalah mengenai hala tuju perpustakaan seiring dengan kehendak universiti. Selain itu juga, Key Performance Indicator (KPI) perpustakaan juga dibincangkan secara mendalam bagi mengetahui peranan perpustakaan yang menyumbang kepada kelestarian universiti. Maklumat mengenai senarai bengkel,program dan aktiviti yang telah dianjurkan oleh perpustakaan juga turut dikongsi bersama untuk pemahaman yang lebih jelas mengenai fungsi dan peranan perpustakaan.
Seusai sesi taklimat, delegasi telah dibawa melawat kemudahan di sekitar perpustakaan dan menandatangai Buku Pelawat berhadapan Sudut Profesor di Paras 2, Bangunan Utama, PSB. Setelah itu, melalui permintaan, mereka telah dibawa melawat Bahagian Sumber Ilmu dengan fokus utama kepada Unit Metadata, Pengindeksan dan Abstrak yang telah disampaikan oleh Cik Nur Darina Khairil Anwar selaku Ketua Unit. Turut serta bersama adalah En. Hisomuddin Abdullah, Ketua Unit Pembangunan Sumber Ilmu dengan penyampaian ringkas mengenai perolehan bahan dan koleksi bersiri yang diurus oleh beliau. Atas faktor masa yang terhad, lawatan penandaarasan ini sempat diselitkan dengan sesi perkongsian ringkas oleh Pn. Ku Safina Ku Ismail selaku Ketua Unit Respositori Institusi (eLib) mengenai koleksi tesis serta informasi mengenai koleksi repositori.
Terima kasih diucapkan kepada seluruh warga PSB yang amat mengalu-alukan delegasi dari Perpustakaan KUIPs ini dengan kesediaan untuk berkongsi ilmu serta pengetahuan mengenai pengurusan koleksi dan perkhidmatan. Semoga ilmu yang telah disampaikan dan dikongsi bersama dapat membantu Perpustakaan KUIPs untuk terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warganya.
Lawatan ini tamat sekitar jam 5.00 petang.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Azniza Ahmad