LAWATAN PENANDAARASAN DARI PERPUSTAKAAN HAMZAH SENDUT, USM KE PSB ERATKAN HUBUNGAN

PSB Online – Pada 20 Jun 2022 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima satu kunjungan lawatan penandaarasan dari Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM).

Delegasi seramai 23 orang ini tiba di perkarangan lobi PSB pada jam 10.40 pagi dengan disambut oleh Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa dengan diiringi oleh Ketua-Ketua Bahagian PSB.

Sebelum bergerak ke Auditorium 1 untuk sesi taklimat, satu sesi fotografi beramai-ramai telah diadakan di hadapan pintu masuk utama PSB. Semasa sesi taklimat, Ketua Pustakawan mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Perpustakaan Hamzah Sendut ke PSB dan amat berbesar hati kerana sudi menjadikan PSB sebagai tempat pilihan lawatan penandaaras. Selain daripada itu, taklimat umum perpustakaan juga turut diberi oleh Cik Noraini Alias, Pustakawan dari Unit Komunikasi Korporat, PSB sebagai pengenalan kepada organisasi PSB.

Usai sesi di auditorium, delegasi dijemput menikmati jamuan ringan di bilik makan sebelum bergerak ke bahagian-bahagian untuk sesi lawatan penandaarasan. Kesemua mereka dibahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan satu diiring oleh Pn. Wan Hanis Kamarruddin melawat ke Bahagian Sistem Maklumat, Bahagian Khidmat Pengurusan dan Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Maklumat Ilmiah. Manakala Kumpulan 2, diiring oleh Cik Noraini Alias melawat ke Bahagian Arkib Universiti, Bahagian Perkhidmatan Pelanggan dan Bahagian Sumber Ilmu.

Sepanjang lawatan ini, kerjasama yang baik telah ditonjolkan oleh semua staf PSB dengan penerangan proses kerja dan aktiviti bahagian yang dijalankan setiap hari bekerja. Setelah selesai sesi lawatan di perpustakaan yang mengambil masa sekitar satu jam, kesemua delegasi ini telah dibawa ke Muzium Pengurusan UUM untuk melihat sendiri muzium pengurusan yang pertama di Malaysia. Setibanya mereka di sana, mereka telah disambut baik oleh Pn. Noorfauziati Mat Yatim selaku Ketua Bahagian Muzium Pengurusan UUM. Di sana, mereka turut didedahkan dengan pelbagai koleksi muzium serta teruja dengan aktiviti pameran semasa iaitu Pameran Peralatan Menangkap Ikan yang sedang berlangsung.

Diakhir sesi lawatan, satu upacara penyampaian cenderamata telah disempurnakan oleh Pn. Noorfauziati Mat Yatim kepada Pn. Husriati Hussin selaku wakil delegasi sebagai tanda kenang-kenangan atas lawatan penandaarasan ini. Semoga lawatan ini dapat menjalinkan ukhuwah yang kukuh serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk menambahbaik proses kerja masing-masing.

Lawatan ini tamat sekitar jam 1.45 tengahari dan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan sesi lawatan ini.

 

 

Disediakan oleh:  Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib