9 Jun 2020 – Suatu fenomena baharu di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada tarikh ini di mana telah memperlihatkan suatu norma baharu sesi perkongsian maklumat atau “Online Sight” telah diadakan bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB.
Bersiaran langsung secara atas talian menerusi platform Facebook (FB) di halaman FB kumpulan Librarian Ideas, sesi “Sembang Santai antarabangsa ini telah berjaya dianjurkan dengan mengetengahkan topik yang begitu menarik sekali iaitu mengenai “Response to Covid-19: Perspectives from Libraries”. Bertambah menarik apabila penceramah jemputan kali ini adalah dari negara Australia iaitu Sue Owen, Pengarah Library and Learning Spaces, Federation University Australia. Manakala, penceramah jemputan yang kedua juga tidak kurang hebatnya iaitu Puan Mazmin Mat Akhir, Ketua Pustakawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sesi ini telah bermula pada jam 10.00 pagi waktu Malaysia dan telah disiarkan secara global.
Sesi ini telah dijayakan oleh moderator Dr. Mohd Faizal Hamzah iaitu Pustakawan Kanan, Universiti Malaya (UM). Pelbagai soalan menarik dan perkongsian pengalaman telah dikupas dengan penuh berinformasi dan amat berfaedah sekali untuk manfaat semua institusi perpustakaan terutama di saat wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini. Turut serta bersama-sama menyaksikan siaran langsung ini di lokasi masing-masing adalah pustakawan-pustakawan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan juga ramai penonton lain bukan sahaja dari dalam negara malahan luar negara seperti Filipina, Nepal, Singapura dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, kesemua penonton boleh berinteraksi dengan penceramah jemputan dengan meninggalkan pertanyaan di ruangan komen yang telah disediakan.
Selama hampir 2 jam bersiaran langsung, antara rumusan terpenting yang dapat disimpulkan di sini adalah apabila dunia dilanda wabak pandemik Covid-19 ini, kesemua institusi turut terjejas dan Perpustakaan adalah tidak terkecuali. Namun, walaupun panik di peringkat awalnya, ianya berjaya dibendung dengan tindakan pantas menggunakan perpustakaan maya (virtual library) untuk mempromosikan penggunaan koleksi digital perpustakaan secara lebih menyeluruh. Bukan sahaja di Australia, Perpustakaan di Malaysia juga dilihat mampu menangani isu ini dengan cukup berhemah. Menurut Sue, apabila ditanya mengenai manfaat yang boleh diperolehi akibat wabak Covid-19 ini, beliau berkata bahawa sudah tiba masa untuk kita berfikir sejenak dan mengkaji apa yang pengguna boleh mendapat manfaat dari perpustakaan dan ternyata banyak peluang melalui sumber atas talian boleh diketengahkan kepada mereka dengan lebih efektif di masa akan datang. Manakala menurut Pn Mazmin pula, selain bersetuju penuh dengan Sue, beliau menyarankan bahawa kita perlu memikirkan mengenai perancangan scenario di masa akan datang bagi persiapan menghadapi situasi kecemasan seperti ini.
Sembang Santai antarabangsa ini adalah anjuran bersama Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam Malaysia dan juga kumpulan Librarian IDEAS. Usaha mereka untuk memartabatkan profesi kepustakawanan ini seharusnya diberi pujian dan pengiktirafan yang sewajarnya kerana pelbagai input yang sangat bermanfaat dapat diperolehi daripada program ini dengan kupasan-kupasan topik yang sangat menarik seperti ini. Kumpuan Librarian Ideas sebelum ini juga telah berjaya menganjurkan beberapa siri sembang santai dengan hanya menggunakan platform FB Live sahaja namun ianya mampu memberi perspektif baharu mengenai bidang kepustakawanan dan juga membantu ramai komuniti dalam menguruskan Perpustakaan dengan lebih baik.
Sebelum menyaksikan siaran “Online Sight” ini, sedikit taklimat ringkas daripada Ketua Pustakawan En. Salleh Hudin Mustaffa telah diadakan pada jam 9.30 pagi. Beliau berkongsi maklumat mengenai perancangan PSB untuk turut terlibat dalam membantu sesi pengajaran dan pembelajaran secara atas talian dengan menyediakan platform untuk bersiaran langsung, merekod serta menyimpan isi kandungan sesi tersebut agar dapat diakses kelak. Selain itu, elemen “outcome based education” (OBE) juga perlu diketengahkan dan digunapakai oleh PSB dalam membantu pihak universiti melahirkan graduan yang berkualiti terutamanya di situasi sekarang. PSB juga dilihat perlu mempelbagaikan servis dan perkhidmatan secara atas talian dengan penganjuran webinar, kelas literasi maklumat dan lain-lain lagi yang dirasakan boleh dimanfaatkan menggunakan sumber sedia ada.
Besar harapan seluruh warga PSB semoga kehidupan norma baharu pasca Covid-19 ini dapat diadaptasi secepat mungkin dan mendapat sokongan padu daripada semua pengguna PSB dan juga universiti dalam memberikan servis dan perkhidmatan yang terbaik serta berkualiti tinggi.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib