MAJLIS HIMPU 2022 : TAHNIAH PENERIMA APC DAN NAIB JOHAN PERTANDINGAN 5S/QE BUAT PSB

PSB Online  – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sekali lagi telah berjaya memenangi tempat kedua Pertandingan Amalan Persekitaran Berkualiti bagi kategori Jabatan A peringkat universiti yang diumumkan pada Majlis Hari Inovasi dan Penganugerahan Universiti (HIMPU) tahun 2022 yang telah berlangsung pada 10 Ogos 2022 di Dewan Mu’adzam Shah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mewakili PSB, Ketua Pustakawannya Tuan Haji Salleh Hudin B. Mustaffa telah naik ke pentas utama untuk menerima penghargaan universiti yang disampaikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang hadir sebagai tetamu kehormat majlis. Sebagai Naib Johan, PSB telah berjaya membawa pulang imbuhan wang tunai sebanyak RM1,500 beserta sijil penghargaan universiti.

Hari Inovasi dan Penganugerahan Universiti (HIMPU) merupakan  acara tahunan universiti sebagai satu tanda pengiktirafan UUM terhadap prestasi kerja yang cemerlang yang telah ditunjukkan oleh kakitangan UUM. Pada majlis itu, Dr. Ahmad Masrizal telah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kesemua 118 staf universiti yang terdiri daripada 8 staf kumpulan Pengurusan & Profesional, 71 staf kumpulan Pelaksana dan 39 staf Akademik. Beliau juga turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran dan Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ) bagi tahun 2021.

Majlis HIMPU 2022 ini juga turut menyaksikan 3 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dari PSB  iaitu Puan Asmaniza Mansor, Pustakawan Kanan dari Unit Arkib Media Digital, Puan Zuhaida Md. Zain, Pembantu Pustakawan Kanan dari Unit Pengurusan Koleksi dan Encik Noraziman Mohamad Pembantu Pustakawan dari Unit Pengurusan Koleksi. Mereka berjaya dipilih untuk menerima pengiktirafan dan penghargaan ini berdasarkan kecemerlangan khidmat prestasi mereka  di PSB sepanjang tahun 2021.

PSB merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga PSB terutama kepada Jawatankuasa 5S dan semua Ketua Zon 5S atas komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam memastikan PSB terus kekal kedudukan top 5  peringkat universiti pada setiap kali Pertandingan Amalan Persekitaran Berkualiti diadakan.

Tahniah PSB.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Abdul Hadi Mat Taib