MALANG TAK BERBAU : PSB ANJUR BENGKEL RAWATAN AWAL KECEMASAN

PSB Online  – Sesiapa pun mungkin akan ditimpa kecederaan tidak kira di mana dan pada bila-bila masa sahaja. Dengan menggunakan teknik pertolongan cemas yang betul, kita mungkin dapat menyelamatkan nyawa atau setidak pun dapat menghentikan kecelakaan kecil daripada menjadi lebih parah.

Menyedari hal itu dan juga hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perpustakaan Bil. 4/2022 yang telah memutuskan satu bengkel rawatan awal kecemasan perlu dianjurkan maka Unit Latihan dan Sistem Kualiti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu telah menganjurkan Bengkel Rawatan Awal Kecemasan pada 14 Febuari 2023.

Antara objektif  utama bengkel ini diadakan adalah bagi memberi pendedahan ilmu dan kesedaran kepada kakitangan PSB dalam usaha melakukan perawatan awal untuk membantu, mencegah dan menghalang kecederaan yang dialami menjadi lebih serius. Bengkel ini telah dijayakan oleh wakil APM sebagai fasilitator iaitu  Kpl (PA) Wan Eimmielia Yusni bt. Md Arub , Pbt (PA) Tuan Haji Zakariya b. Abdullah dan dibantu oleh Kpl (PA) Rose Kamini bt. Arif Pazilah.

Seramai 72 orang peserta dari kalangan staf PSB telah menyertai bengkel ini yang bermula pada pukul 10.00 pagi di Auditorium 2 Bangunan Tambahan PSB. Antara intipati kandungan ceramah yang disampaikan adalah penerangan mengenai peranan dan fungsi APM, rawatan luka dan balutan, teknik melakukan prosedur Cardiopulmonary resuscitation (CPR) yang betul untuk bantuan awal sekiranya jantung terhenti dan diakhiri dengan demonstrasi dan latihan amali cara balutan luka dan pelaksanaan CPR ke atas mangsa.

Bengkel ini telah berakhir pada pukul 12.30 tengahari dengan penyampaian cenderahati oleh Puan Norma Said, Penolong Ketua Pustakawan dari Bahagian Khidmat Pengurusan kepada semua fasilitator yang hadir menjayakan bengkel ini.

Melalui penganjuran bengkel ini, ia menunjukkan bahawa kesedaran mengenai  ilmu perawatan awal adalah amat penting untuk dipelajari dan boleh digunakan sekiranya terdapat staf, pengguna PSB atau orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan dengan segera dapat ditangani dengan betul dan berkesan.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti Ahmad

Gambar :  Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail