MEMBINA BUDAYA ‘KAIZEN’ DI TEMPAT KERJA

Satu ceramah bertajuk“Membina Budaya ‘Kaizen’ Di Tempat Kerja” telah disampaikan oleh Pn. Rozana Bt Mohamed Hanifa yang merupakan Juruaudit 5S Universiti Utara Malaysia (UUM). Ceramah ini telah berlangsung di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 16 Mei 2018 bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari. Ceramah ini adalah merupakan anjuran Jawatankuasa 5S PSB.

Pada sesi ceramah ini, Pn. Rozana telah berkongsi maklumat mengenai satu perkataan Jepun yang acapkali didengari oleh seluruh warga PSB iaitu ‘Kaizen’. Menurut beliau, ‘Kaizen’ adalah sebuah perkataan yang membawa maksud “penambahbaikan berterusan yang menekankan perubahan yang lebih baik dan proses ini adalah berkesinambungan”. Tambah beliau, sesuai dengan definisi ‘Kaizen’ iaitu ‘Kai” bermaksud “change” dan “Zen” bermaksud “good”. Beliau juga turut berkongsi 6 prinsip ‘Kaizen’ iaitu yang pertama, memperbetulkan kesilapan, kerja berpasukan, kedua, keselamatan tempat kerja, ketiga, meningkatkan kepuasan pengguna, keempat, siap tepat pada masanya, kelima, menyebabkan kerja menjadi mudah serta yang keenam adalah mengurangkan tekanan ke atas pekerja.

Selain itu, terdapat beberapa komponen ‘Kaizen’ yang beliau tekankan dalam ceramah tersebut antaranya ialah 5s (Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu, Shitsuke), KSS (Kaizen Sugesstion System), QCC (Quality Control Cycle), TQC (Total Quality Control), TPM (Total Productive Maintenance), JIT (Just In Time Production). Beliau juga turut menyeru warga PSB supaya mengamalkan serta membudayakan konsep ‘Kaizen’ ini di setiap bahagian agar dapat melahirkan manfaat yang kolektif dalam pengurusan PSB.

Di kesempatan ini juga, Pn. Rozana turut mengambil peluang untuk berkongsi tips dan faktor-faktor kemeruduman PSB di arena pertandingan 5S UUM sejak kebelakangan ini. Menurut beliau, dahulunya PSB adalah sebuah Jabatan yang terbaik dalam amalan 5S di UUM, namun kini ianya kelihatan agak merudum. Oleh yang demikian pada tahun ini, PSB perlu komited dalam menaikkan semula ‘roh’ 5S yang kian pudar ditandingi oleh jabatan-jabatan lain seperti UUMIT, Pusat Budaya dan lain-lain. Sambung beliau lagi, PSB dahulunya pernah menerajui serta memenangi beberapa anugerah di peringkat universiti namun kini agak menurun prestasinya mungkin kerana kedudukan yang selesa selepas memenangi beberapa anugerah serta tiada lagi kerjasama antara ahli-ahlinya. Akhir kata, beliau berharap PSB akan dapat memperbaiki kelemahan tersebut dengan mengamalkan amalan Kaizen dan 5S dengan nafas baharu serta lebih unggul selepas ini.

Ceramah tersebut telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan oleh En. Razak Siamin, Pengerusi Jawatankuasa 5S, PSB. Semoga dengan apa yang telah dikongsi dan diutarakan sepanjang sesi ceramah tersebut dapat menghidupkan semula ‘roh’ 5S di PSB dengan harapan dapat merangkul semula gelaran juara yang pernah disandang oleh PSB suatu masa dahulu.

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Noraini Alias