MUSLIMAT PSB IMARAHKAN RAMADAN DENGAN BERDAMPING BERSAMA AL-QURAN

PSB Online  –  Ramadan adalah bulan Al-Quran dan sebaik-baik perkataan di bulan Ramadan adalah membaca Al-Quran. Warga muslimat Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) mempunyai cara tersendiri dalam mengimarahkan Ramadan dengan istiqomah menganjurkan majlis tadarus Al-Quran di sepanjang Bulan Ramadan 1442H ini.  Majlis ini adalah anjuran  Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) PSB.

Majlis tadarus Al-Quran bagi kali ini dihadiri oleh seramai 12 orang kakitangan dari pelbagai bahagian di PSB. Walaupun masih dibelenggu dengan ancaman pandemic COVID-19, seperti kebiasaan pada Bulan Ramadan yang lalu, majlis tadarus ini tetap diadakan pada  setiap hari bekerja dari pukul 1.00 hingga 1.30 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 1 Bangunan Utama PSB dengan mengikut norma baharu.  Makna tadarus ialah saling mempelajari Al-Quran iaitu apabila seorang membaca dan yang lain mendengar dan memerhati bacaannya. Kaedah tadarus yang dilakukan oleh muslimat PSB ialah dengan berpasangan mengambil satu juzuk untuk dibaca dan setelah selesai bacaannya, disambung pula dengan juzuk seterusnya yang belum diambil dan dibaca oleh pasangan yang lain. Dalam kesibukan berpuasa dan memenuhi tuntutan kerja dan rutin lainnya, muslimat PSB akhirnya  berjaya juga  mengkhatam Al-Quran pada 11 Mei 2021 bersamaan dengan 29 Ramadan 1442H. Alhamdulilah.

Selain dari menyertai majlis tadarus di PSB, bulan Ramadan kali ini turut diimarahkan lagi apabila para muslimat PSB juga buat pertama kalinya menyertai program tadarus muslimat Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran Pusat Islam  pada 29 April 2021. Untuk PSB bersama beberapa jabatan lain,  ketetapan juzuk yang diberikan ialah juzuk 18 untuk dibaca pada hari berkenaan. Antara surah kandungan Juzuk 18 ini  ialah Surah Al-Mukminin, Surah An-Nur dan Surah Al-Furqan. Majlis ini dipimpin sepenuhnya oleh Ustazah Dakina Binti Zakaria, Pembantu Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UUM.

Selain dari majlis tadarus di PSB dan di Pusat Islam, muslimat PSB sekali lagi  tidak ketinggalan menyambut dan  menyertai program World#QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Ini adalah kali ke-6 berturut-turut PSB menyertai program  interaksi bersama Al-Quran  ini dengan membaca dan mentadabbur surah al-Mulk yang bermaksud ‘kerajaan’ sebagai surah pilihan.

Semoga usaha berterusan daripada segelintir muslimat PSB membasahkan bibir mereka berdamping dengan Al-Quran menjadi dorongan dan inspirasi buat muslimat PSB yang lain untuk menyertai majlis tadarus ini pada Bulan Ramadan akan datang. Ini kerana membaca Al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan yang lain kerana apabila dibaca pada bulan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib pada bulan lain. Muslimat warga PSB, marilah bersama kita sentiasa menyemarakkan rasa cinta kepada Al-Quran di sepanjang hidup kita sebagai seorang muslim.

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Noraini Alias