MUZIUM PENGURUSAN UUM ANJUR PAMERAN PATUNG KOKESHI DARI JEPUN

PSB Online – Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama antara Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan (SEFB), Pusat Budaya dan Seni serta Kelab Bahasa dan Kebudayaan Jepun menganjurkan satu pameran patung kayu mainan kanak – kanak perempuan Jepun dengan tema “The World of Kokeshi Dolls”.

Pameran ini berlangsung dari 15 Januari hingga 15 Mac 2023 bertempat di ruang pameran semasa Muzium Pengurusan UUM. Kepada pencinta budaya Jepun, pameran ini dibuka untuk kunjungan warga kampus dan masyarakat sekitar dari pukul 9.00 pagi  hingga 4.30 petang.

Kokeshi berasal dari utara Jepun. Diperbuat dan diukir dari sebungkah kayu dengan karakter gadis Jepun berkimono tidak berkaki mahupun bertangan. Selain dari melihat kehebatan seni buatan patung Kokeshi dengan pelbagai expresi wajah, pengunjung juga boleh menimba ilmu mengenai hidangan masakan tradisonal Jepun yang dikenali sebagai ‘ Washoku”

Antara menu Washoku yang dipamerkan adalah Nigiri Zushi 1, Nigiri Zushi 2, Temaki Zushi, Kaisen Don, Tempura Soba, Oden, Tamago Kake Gohan, Onigiri dan Asari No Misoshiro.

Pameran patung Kokeshi dan masakan tradisional Jepun ini adalah sempena anjuran ‘Nihon Matsuri’ atau Festival Jepun yang berlangsung buat pertama kalinya di UUM. Selepas acara perasmian Festival di Ruang Legar Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Naib Canselor Prof. Haim Hilman Abdullah dan Konsul – General Jepun di Pulau Pinang, En. Kawaguchi Yoshiyasu dan rombongannya telah meluangkan masa melawat pameran ini pada 15 Januari 2023 yang lalu.

Untuk makluman, selain dari  berpeluang mendekati dan mempelajari kesenian bahan pameran, pengunjung juga diberi peluang untuk  memakai pakaian tradisional Jepun iaitu Kimono dan Yukata. Berkimono atau Yukata di bawah pohon sakura yang sedang mekar adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Jom ramai – ramai mengunjungi Muzium Pengurusan UUM untuk melihat pameran yang cantik dan penuh nilai seni ini.

 

 

Disediakan oleh : Azniza Binti  Ahmad

Gambar :  Noraini Alias