PSB Online – [Berita Muzium] – Bermula dari 20 Mei 2021 sehingga hari ini, kesan dari pandemik Covid 19, kesemua staf Universiti Utara Malaysia (UUM) dan staf muzium khasnya, telah menjalani norma baharu berkerja iaitu Bekerja Dari Rumah atau BDR. Bekerja Dari Rumah merupakan norma baharu yang tidak dapat dielakkan dan kesemua staf terlibat perlu bersedia dari pelbagai aspek terutama mental dan fizikal untuk melaksanakan arahan ini.
Sepanjang BDR dilaksanakan, pelbagai aktiviti dan tugasan telah dilakukan dengan penuh komitmen. Penetapan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kerja yang terbatas di rumah adalah hasil perbincangan bersama di antara Pengarah, Ketua Bahagian dan juga staf terlibat.
Sepanjang tempoh ini, Mesyuarat Muzium Pengurusan UUM yang menghimpunkan Pengarah bersama semua Ketua Unit telah diadakan secara atas talian menggunakan platform Cisco Webex. Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara seperti pengumpulan laporan statistik dalam tempoh BDR, laporan kemajuan kerja semasa, halangan serta cabaran dalam melakukan kerja-kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perancangan kerja secara maya yang perlu difikirkan, keadaan kesihatan staf dan lain lain perkara lagi.
Selain itu juga, tugasan seperti penulisan teks panel pameran, membuat sempila dan diorama bagi menyiapkan pameran semasa iaitu Pameran Alat Menangkap Ikan juga masih diteruskan sepanjang tempoh ini.
Semua staf di Muzium Pengurusan UUM amat berharap agar wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara ini dapat dikawal dengan cepat dan semoga kita semua dapat menjalani kehidupan yang normal seperti sediakala tidak lama lagi.
Disediakan dan gambar oleh : Airuzaidi Bin Abdul Razak
Disunting oleh : Noraini Alias