PSB Online [Berita Muzium] 25 Feb. 2021 – Baru-baru ini, Muzium Pengurusan UUM, telah menerima sumbangan artifak oleh saudara Abdul Hadi Taib. Sumbangan ini adalah merupakan penemuan beberapa butir peluru meriam dan peluru senjata api ketika beliau menjalankan aktiviti pengesanan logam (metal detector).
En. Abdul Hadi adalah merupakan kakitangan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan di waktu lapang, beliau amat gemar melakukan aktiviti-aktiviti tersebut yang juga adalah merupakan salah satu dari hobinya. Menemui artifak tersebut, beliau telah membuat keputusan untuk menyerahkan artifak yang ditemuinya berhampiran Kota Kuala Kedah dan Siputeh itu kepada Muzium Pengurusan UUM kerana menurut beliau artifak tersebut adalah sangat bernilai dari sudut sejarah Negeri Kedah khasnya dan juga kepada Malaysia amnya.
Menurut Pengarah Muzium Pengurusan UUM iaitu Dr. Kasri Saidon, peluru-peluru tersebut adalah sisa atau tinggalan beberapa peperangan yang berlaku satu ketika dulu yang melibatkan Kejaraan Negeri Kedah menentang musuh yang datang menceroboh kedaulatan mereka ketika itu.
Dr. Kasri bersama Pustakawan yang bertanggungjawab di Unit Perolehan Muzium iaitu Encik Hisomuddin Abdullah serta seluruh staf Muzium adalah sangat berbesar hati menerima sumbangan yang sangat bernilai itu.
Pihak Muzium Pengurusan UUM juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Abdul Hadi atas ehsan,sumbangan dan sokongan beliau.