
Pada 22 Jun 2017 yang lalu, telah diadakan sesi pembentangan khas hasil projek oleh 5 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah menjalani latihan praktikum di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Pembentangan tersebut telah diadakan pada jam 9.00 pagi bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama Perpustakaan.
Sepanjang 5 bulan berada di PSB, mereka telah ditempatkan di pelbagai bahagian dan telah diberi tunjuk ajar oleh pegawai yang berkenaan. Dalam memenuhi keperluan latihan praktikum, mereka dikehendaki menjalankan projek di institusi di mana mereka berkhidmat. Oleh yang demikian, mereka telah berjaya menghasilkan pelbagai projek menarik antaranya ialah membangunkan laman web 5S PSB, Augmented Reality Poster, video maklumbalas pengguna mengenai PSB, daftar repositori bahan muzium dan lain-lain lagi. Sepanjang tempoh menyiapkan projek ini, mereka turut dibantu oleh beberapa pegawai dari segi bahan maklumat, kod pengaturcaraan dan sebagainya.
Sesi pembentangan ini adalah pertama kali diadakan dan ianya merupakan hasrat Ketua Pustakawan PSB iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa untuk terlibat dalam perkongsian idea mengenai hasil projek-projek yang telah dijalankan. Turut hadir bersama adalah Timbalan Ketua Pustakawan, En. Muhammad Mazlan Jalla dengan disertai oleh pustakawan-pustakawan dari pelbagai bahagian. Tujuan utama diadakan sesi pembentangan ini adalah untuk berkongsi hasil dapatan projek dan penambahbaikan yang telah dibangunkan oleh mereka terhadap servis dan perkhidmatan di PSB.
Dapatan daripada projek-projek ini sememangnya bermanfaat kepada PSB dalam mengukuhkan servis dan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak pengguna. Semoga semua projek ini dapat diaplikasikan secara menyeluruh di dalam PSB kelak. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada semua pelajar praktikum ini. Selamat maju jaya.
Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias