PSB Online: Kehadiran pelajar latihan industri ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) mampu memberi penambahbaikan dari segi penyampaian servis kepada pengguna.
Setiap kali para pelajar menjalani latihan industri mereka di PSB, mereka diwajibkan untuk menyediakan sebuah projek individu dan berkumpulan. Pada 23 Februari 2021 yang lalu, 3 orang pelajar daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini telah membentangkan projek berkumpulan mereka yang bertajuk “Pemantapan Kandungan Libguides dan LibAnswers Bagi Pelancaran Rasmi”. Sesi ini telah berlangsung secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Cisco Webex pada jam 11.00 pagi. Ianya adalah anjuran Unit Latihan dan Kualiti, PSB. Turut hadir menyertai adalah Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa, semua Ketua Bahagian dan Ketua Unit.
Projek ini telah dibentangkan oleh pelajar berikut, Fatimah Az-Zahra binti Zainud-din, Nur Imanina Najwa binti Ruslee dan Muhamad Ammar Miqdad bin Muhamad Supri. Projek berkumpulan ini telah diselia oleh Pn. Fadzilah Hussin, Ketua Unit Pendidikan Pengguna, Bahagian Perkhidmatan Pengguna.
Antara objektif utama projek ini adalah untuk memberi penambahbaikan perkhidmatan perpustakaan secara fizikal dan digital untuk memberi manfaat kepada pengguna. Selain itu juga, ianya juga bertujuan untuk menambah kandungan FAQs yang diperlukan oleh pengguna di dalam LibAnswers. Antara maklumat yang disediakan oleh mereka adalah seperti ‘Tips for Presentation’, Planning Your Search’, Tips for Studying at Home’, ‘New to University’ dan juga LibAnswers iaitu penyediaan FAQs.
Projek yang diketengahkan ini adalah bertujuan untuk membantu pengguna memahami servis dan perkhidmatan PSB dengan lebih jelas lagi. Melalui platform Libguides, mereka telah menambahbaik banyak perkara yang dirasakan menjadi keperluan kepada pengguna terutama pengguna baharu.
Tahniah diucapkan kepada kumpulan ini kerana berjaya menyiapkan projek dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, walaubagaimanapun, terdapat beberapa komen positif daripada Ketua Pustakawan dan juga oleh Timbalan Ketua Pustakawan iaitu En. Razak Siamin. Menurut mereka, penetapan objektif haruslah bersesuaian dengan apa yang ingin dihasilkan dan setiap objektif tersebut mestilah boleh diukur pencapaiannya. Secara keseluruhannya, pihak pengurusan berpuas hati dan amat berterima kasih atas sumbangan usaha, masa dan tenaga dalam menyiapkan projek tersebut. Segala teguran, tunjuk ajar dan juga pemberian tugas adalah bertujuan untuk mendidik di samping sebagai pendedahan menghadapi alam pekerjaan kelak.
Seluruh warga PSB mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada mereka semua yang bakal menamatkan latihan industri pada 28 Februari 2020 nanti. Sesi ini tamat sekitar jam 12.30 tengahari.
Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias