PEMBUKAAN SEMULA SUDUT KANAK-KANAK HILANGKAN KEGUSARAN IBU BAPA DI PSB

PSB Online – Tarikh 1 Disember 2020 menyaksikan tanda keprihatinan pihak pengurusan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) kepada pekerjanya dengan membenarkan pengoperasian semula Sudut Kanak-Kanak (SKK) yang telah ditutup sejak sekian lama akibat wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Sudut Kanak-Kanak (SKK) ini telah dibenarkan beroperasi semula sehingga berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu pada 31 Disember 2020. Keputusan ini dibuat adalah setelah mendapat kelulusan daripada Pengarah Unit Pengurusan Risiko UUM sendiri iaitu En. Shahrul Nizam bin Ahmad.

Walaubagaimanapun, pembukaan ini perlu mematuhi terma dan syarat tertentu dengan mengambilkira penyediaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi seperti mengambil bacaan suhu badan, menyediakan ‘hand sanitizer’ dan lain-lain lagi untuk menjamin keselamatan kanak-kanak yang hadir. Ibu-bapa juga perlu melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan sebelum membawa anak-anak mereka ke sini.

Menurut Pn. Asmaniza Mansor selaku Ketua Unit Perkhidmatan Pelanggan “Sudut Kanak-Kanak (SKK) ini hanya dibuka kepada 20 orang sahaja kerana untuk mengelak kesesakkan di samping untuk mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19”. Tambah beliau lagi, “semoga dengan pengoperasian semula SKK ini dapat melegakan kerisauan ibu-bapa di PSB kerana keselamatan anak-anak mereka lebih terjamin berbanding berada di luar”.

Idea asal pembukaan semula Sudut Kanak-Kanak (SKK) ini adalah daripada Ketua Pustakawan sendiri iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa. Ini bagi memberi kelegaan di dalam hati ibu bapa yang melaksanakan tugas di pejabat sambil berpeluang memantau keberadaan dan kesihatan anak-anak mereka di lokasi yang berdekatan.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias