PSB ONLINE: Satu ceramah tentang pengendalian bahan-bahan kimia di tempat kerja telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Su,tanah Bahiyah(PSB) pada 31 Julai 2024 di Auditorium 1, PSB. Ceramah disampaikan oleh Ts. Mazlina Bint Yusof dari Jabatan Kelelamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kedah.Ts. Mazlina merupakan Ketua Seksyen Hygine Industri di JKKP Kedah. Beliau bertugas di JKKP Kedah sejak 2009 dan mempunyai pengalaman yang lias dalam bidang ini.
Ceramah disertai staf dan pustakawan PSB. Ts. Mazlina mengetengahkan kaedah penyimpanan bahan-bahan kimia di pejabat. Fokus juga diberikan tentang pengendalian bahan-bahan kimia yang digunakan oleh Penolong Kurator Muzium Pengurusan yang digunakan dalam kerja-kerja konservasi bahan-bahan artifak muzium. Ts. Mazlina juga menekankan semua bahan kimia yang digunakan di pejabat perlu dilabelkan dan diuruskan dengan sistematik dan label-label perlu jelas, termasuk bahan-bahan kimia yang digunakan oleh tukang cuci lantai, tandas, dan sebagainya.
Beliau menegaskan bahawa pihak pengurusan UUM bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua staf bertugas di dalam kampus sepanjang waktu bekerja. Bahan-bahan kimia yang ada di dalam semua jabatan atau unit yang terlibat perlu didaftarkan dengan betul dan spesifik dan mempunyai tempat penyimpanan yang spesifik. Mengikut beliau universiti juga perlu membuat penilaian risiko terhadap bahan kimia dan membuat pembuangan dan pelupusan bahan kimia dengan kaedah yang betul. Setiap bahan kimia perlu dilengkapi dengan SDS iaitu Safety Data Sheet yang mengandungi maklumat lengkap bahan kimia berkenaan. SDS boleh mengurangkan bahaya yang berkaitan dengan pengeluaran, pengangkutan, penyuimpanan dan penggunaan bahan kimia dan campuran yang diklasifikasikan kepada kesihatan pekerja dan alam sekitar.
Semoga perkongsian ini dapat menambahkan pengetahuan dalam kalangan semua warga PSB khususnya dan UUM amnya dan lebih peka dan lebih berhati-hati dalam pengendalian bahan-bahan kimia di tempat kerja demi keselamatan semua.