PENGGUNA SETIA PERPUSTAKAAN TERIMA ANUGERAH PENGHARGAAN ANJURAN PSB

Sempena Majlis Perasmian Pesta Buku UUM 2017 yang telah berlangsung di foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 27 Februari 2017 yang lalu, PSB turut mengambil peluang untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada 21 pengguna setia perpustakaan serta mengiktiraf pusat pengajian yang paling aktif menggunakan perkhidmatan perpustakaan sepanjang tahun 2016.

Penganugerahan ini adalah bertujuan untuk menjalin hubungan baik di antara pengguna dengan PSB dan secara tidak langsung dapat menarik minat pengguna untuk terus menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di dalam perpustakaan.

3 kategori utama yang telah dipertandingkan adalah Kategori Pengguna e-Resources Paling Aktif, Kategori Peminjam Buku Terbanyak dan Kategori Pengunjung Paling Kerap ke Perpustakaan. Penerima-penerima anugerah adalah terdiri daripada kalangan staf akademik, pelajar pasca siswazah dan juga pelajar ijazah pertama.

Bermula dari tahun 2016, PSB telah memperkenalkan kategori baharu iaitu anugerah Kategori Pusat Pengajian Paling Aktif Menggunakan Perkhidmatan Perpustakaan. Bagi kategori ini, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan UUM COB telah dipilih sebagai penerima anugerah bagi 2 kategori iaitu Kategori Pengunjung Perpustakaan Terbanyak dan juga Kategori Pengguna e-Resources Paling Aktif. Manakala, bagi kategori Pengunjung Perpustakaan Terbanyak pula dianugerahkan kepada Pusat Pengajian Kerajaan UUM COLGIS.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. Noor Azizi Bin Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi. Penerima-penerima anugerah yang dipilih akan membawa pulang hadiah berupa sijil, cenderamata dan juga wang tunai.

Dalam mendokong hasrat universiti, PSB akan terus berusaha untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang dapat memberi manfaat kepada setiap pengguna perpustakaan. Tahniah diucapkan kepada semua pengguna yang terlibat.

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mad Affrizi bin Ismail & Mohamad Fuzi bin Ismail