PSB Online – Baru-baru ini telah diadakan Perasmian Program Siri Syarahan 1 – Santun Profesor di Auditorium 1, Bangunan Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Perasmian program ini telah diadakan pada 21 Februari 2023 dan turut disiarkan secara langsung menerusi platform rasmi Facebook Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Siri Syarahan Santun Profesor adalah anjuran PSB melalui kerjasama bersama Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM). Program yang dirancang akan diadakan secara bersiri pada setiap bulan ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar, staf, pensyarah dan komuniti tentang isu semasa yang bermanfaat. Selain itu ianya juga untuk menyuburkan budaya perkongsian ilmu dan pemikiran selain untuk menyalur dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan berkaitan isu semasa di kalangan staf, pensyarah dan komuniti. Program ini juga turut diadakan untuk meningkatkan bilangan program akademik sesuai dengan moto UUM, iaitu, “Ilmu. Budi. Bakti.”
Perasmian program telah disempurnakan oleh En. Salleh Hudin Mustaffa selaku Ketua Pustakawan dan penganjur utama program dengan diringi oleh Pengerusi MPUUM iaitu Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan dan setiausaha MPUUM, Prof. Dr. Che Su Mustaffa. Seusai acara gimik perasmian, program diteruskan dengan syarahan pertama bertajuk “Masyarakat Tanpa Tunai: Peluang, Cabaran & Realiti Semasa di Malaysia” yang telah disampaikan oleh Pengerusi MPUUM sendiri.
Majlis Profesor Malaysia (MPUUM) diwujudkan adalah untuk menyokong UUM dalam mencapai matlamat utamanya untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka global. Manakala perpustakaan mengambil pendekatan ini dengan memberi ruang dan peluang kepada profesor UUM berkongsi ilmu pengetahuan melalui program ini.
Sekalung tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa yang telah berjaya menganjurkan program ini dan semoga perkongsian ilmu oleh para profesor UUM melalui program ini dapat memberi manfaat dan menambah ilmu pengetahuan komuniti UUM dan masyarakat serta membuka peluang terhadap pelbagai bentuk kajian ilmu dan jalinan kerjasama di masa akan datang.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail