PSB Online – Satu perjumpaan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan pada 29 April 2021 yang lalu. Perjumpaan ini melibatkan perbincangan bagi mencari kesepakatan demi kebaikan pengguna.
Bermula pada jam 9.00 pagi, perjumpaan yang diketuai oleh En. Salleh Hudin Mustafa selaku Ketua Pustakawan telah mengalu-alukan kedatangan wakil-wakil MPP tersebut ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Turut serta bersama mewakili perngurusan PSB adalah En. Razak Siamin, Timbalan Ketua Pustakawan, bersama-sama Cik Mayzana Hashim iaitu Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna dan Pn. Asmaniza Mansor sebagai Ketua Unit Perkhidmatan Pelanggan.
Antara tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk memohon pertimbangan PSB supaya meneruskan proses pembaharuan bahan pinjaman kerana dikhuatiri maklumat hebahan mengenai penamatan proses pembaharuan pinjaman secara automatik tersebut tidak sampai ke pengetahuan semua pelajar memandangkan ada di antara mereka yang kini berada di luar kampus berkemungkinan tidak mempunyai liputan rangkaian internet yang baik menyebabkan mereka ketinggalan maklumat terkini. Proses pembaharuan tersebut adalah ekoran daripada pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara yang menyebabkan penutupan premis PSB serta keterbatasan proses peminjaman dan pemulangan buku-buku PSB. Walaubagaimanapun, semua peminjam boleh membuat pembaharuan buku-buku tersebut secara atas talian menerusi laman web PSB. Tindakan sebegini dapat mengelak daripada surcaj denda lewat dikenakan ke atas mereka.
Selain daripada itu, pihak MPP juga memohon supaya PSB membuka semula Koleksi Undang-Undang kerana pelajar Undang-Undang perlu merujuk bahan tersebut secara terus dan mengalami kesukaran sekiranya perlu membuat permohonan seperti bahan berstatus umum. MPP juga memohon supaya PSB memberi tunjuk ajar atau menyediakn panduan untuk mengakses pangkalan data yang dilanggan oleh PSB.
Menjawab kepada permohonan tersebut, Ketua Pustakawan memaklumkan bahawa PSB sentiasa peka akan keperluan pelajar dan akan sentiasa membantu untuk memenuhi keperluan mereka dalam aspek pengajaran dan pembelajaran. Justeru, PSB bersetuju untuk memanjangkan proses pembaharuan pinjaman bahan sehingga 31 Mei 2021 dan maklumat hebahan akan terus diberikan kepada wakil MPP supaya beliau boleh membuat hebahan melalui media sosial MPP. Selain itu, pihak perpustakaan juga akan turut membuat hebahan mengenai perkara tersebut melalui media sosial dan emel rasmi PSB dan penamatan pembaharuan pinjaman juga akan dibuat hebahan awal beserta dengan panduan bagaimana untuk memperbaharui bahan pinjaman secara atas talian. Tambah beliau lagi, peka dengan keperluan pelajar, beliau memaklumkan bahawa Koleksi Undang-Undang telah beroperasi semula bermula 14 April 2021.
Bagi memperkasakan servis dan perkhidmatan PSB, walaupun seddikit terbatas ekoran daripada kekangan akibat pandemik, Bahagian Perkhidmatan Pengguna dari semasa ke semasa akan menganjurkan program literasi maklumat bagi memberi tunjuk ajar secara atas talian mengenai pangkalan data yang dilanggan oleh perpustakaan dan juga infografik mengenai tunjur ajar dan hebahan-hebahan terkini mengenai perkhidmatan dan kemudahan PSB juga akan disediakan dan dibuat hebahan menerusi platform komunikasi rasmi PSB seperti emel dan media social.
Sebelum mengakhiri perjumpaan, Ketua Pustakawan turut melahirkan hasrat dengan mengalukan pihak MPP untuk turut sama terlibat di dalam aktiviti PSB seperti demo langganan pangkalan data dan sebagainya. Selain itu, beliau juga berharap agar PSB dapat menjalinkan hubungan kerjasama yang baik dengan pihak MPP dan sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan idea untuk kepentingan pembelajaran pelajar UUM.
Perjumpaan ini tamat sekitar jam 10.00 pagi.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Mazyana Hashim