PSB Online: Tanggal 28 September 2020 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima sebuah motorsikal baharu untuk kegunaan jabatan.
Bernombor pendaftaran “UUM 7006”, kenderaan ini dibeli bertujuan untuk membantu kerja-kerja pengambilan buku-buku yang dipulangkan oleh pengguna di kotak pemulangan buku atau bookdrop yang terletak di Inasis terpilih seperti Inasis Yayasan Al-Bukhary (YAB), Inasis Bank Muamalat, Inasis Bank Rakyat, Inasis Bank SME dan 2 lagi bookdrop yang terletak di Dewan Gugusan Kuliah (DKG) terpilih.
Perkhidmatan pemulangan buku di bookdrop-bookdrop ini adalah bertujuan untuk memudahkan para pengguna memulangkan buku yang dipinjam oleh mereka dan tidak perlu ke perpustakaan. Tiada caj denda lewat dikenakan jika pulang di kotak pemulangan ini mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ianya merupakan sebuah platform yang mudah buat semua pengguna PSB dan buat masa ini, buku-buku ini hanya diambil pada hari Selasa sahaja memandangkan kekurangan pelajar ekoran pandemik wabak Covid-19.
Menurut En. Saarif Rosli Saarif Ahmad selaku Pegawai Tadbir perpustakaan, PSB memperuntukkan sebanyak RM6,500 bagi pembelian motorsikal tersebut dan ianya turut dilengkapi dengan kotak parcel bagi memudahkan petugas PSB melaksanakan perkhidmatan tersebut. Perkhidmatan kotak pemulangan buku ini adalah di bawah selenggaraan Unit Pembangunan Koleksi, Bahagian Sumber Ilmu, PSB.
Semoga dengan adanya motorsikal baharu ini, ianya dapat memantapkan lagi servis dan perkhidmatan PSB dalam memberikan yang terbaik buat semua penggunanya.
Disediakan oleh: Noraini Alias
Gambar oleh: Safuat Hamzah Ibrahim