PERKONGSIAN KETUA PUSTAKAWAN MENINGKATKAN MOTIVASI KETUA BAHAGIAN DAN UNIT

PSB Online: “Tiada angan-angan, tiada impian, tiada cita-cita dan tiada harapan, RTM: Rehat, Tidur dan Mati. Lakukan sesuatu, dikomen dan dikritik lebih baik daripada tiada laksanakan apa-apa dan tidak dikritik”. Ini adalah sebahagian daripada kata-kata Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa semasa sesi perjumpaan Ketua Pustakawan bersama semua Ketua Bahagian dan Ketua Unit PSB.

Perjumpaan ini telah berlangsung pada 22 November 2020 yang lalu bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB bermula jam 9.00 pagi. Memulakan sesi perjumpaan dengan satu kenyataan provokasi adalah suatu pendekatan dalam menaikkan semangat dan motivasi semua yang hadir agar lebih bersemangat dan bercita-cita tinggi menempa kejayaan. Beliau juga turut berkongsi beberapa petikan kata-kata positif oleh tokoh-tokoh terkenal seperti “Brian Tracy” dan “William Faulkner”. Kedua-duanya menyatakan bahawa seandainya ingin berjaya seseorang perlu mempunyai angan-angan yang besar dan berusaha menjadi lebih baik dari sekarang.

Selain itu juga, Ketua Pustakawan turut berkongsi pesanan daripada  Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Bin Ismail, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengenai komponen iman dan kepercayaan yang meliputi 3 perkara utama. Yang pertama adalah meyakini di dalam hati, kedua adalah diucapkan dengan lisan atau perkataan dan yang ketiga adalah diwujudkan dengan perbuatan. Komponen-komponen ini boleh ditafsirkan bahawa untuk menempa kejayaan seseorang perlu mempunyai keinginan yang tinggi disusuli dengan strategi-strategi pelaksanaan dalam mencapai impian tersebut.

Berbicara mengenai “Library 2030” dan konsep pembentukan PSB di masa akan datang, En. Salleh Hudin berkata, beliau akan membicarakan tentang “Current trends dan Horizon Scanning” pada sesi kali ini. Beliau turut berkongsi maklumat daripada pelbagai sumber berkualiti dan sahih antaranya adalah daripada EDUCause Horizon Report bagi Tahun 2019 dan 2020, British Library dan juga daripada Online Computer Library Center (OCLC). Selain itu beliau juga turut berkongsi idea-idea serta tajuk-tajuk perbincangan mengenai “Library 2030” antaranya adalah fokus kepada revolusi servis yang terbaharu, budaya inovasi, memperkembangkan fungsi perpustakaan dan lain-lain lagi. Tambah beliau, untuk kekal relevan di mata pengguna, PSB perlu berani melangkah ke hadapan dan perlu bersedia dengan penyimpanan data agar dapat dianalisis serta dapat digunakan di masa hadapan.

Sesi perkongsian ini berakhir sekitar jam 10.30 pagi dengan pelbagai input-input positif yang harus dimanfaatkan oleh semua Ketua Bahagian dan Ketua Unit yang hadir. Sesi yang berikutnya dijadualkan bakal diadakan pada 25 November 2020 nanti dengan topik “Opportunities”.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias & Izhar Hashim