PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH DIPILIH UNTUK MENEMPATKAN SUDUT HAK ASASI PERTAMA DI UNIVERSITI AWAM

PSB Online – Sudut Hak Asasi Pertama di Universiti Awam kini berada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 5 Julai 2022.

Sudut ini merupakan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) dengan kerjasama PSB, UUM. Suruhanjaya ini adalah sebuah institusi hak asasi manusia negara bagi Malaysia dan ia ditubuhkan oleh Parlimen Malaysia di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dan mula beroperasi pada April 2000. Suruhanjaya ini berperanan untuk mempergiat pendidikan hak asasi manusia, menasihati dasar dan perundangan, dan melakukan penyiasatan.

Menjadi Sudut Hak Asasi pertama di Universiti Awam, Ketua Pustakawan, En. Salleh Hudin Mustaffa mewakili pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata “PSB amat berbesar hati atas kesudian pihak SUHAKAM memilih Perpustakaan UUM untuk membangunkan Sudut Hak Asasi Manusia pertama di Universiti Awam”. Sudut ini amat bermanfaat kepada semua warga UUM untuk mendapatkan pendedahan mengenai hak asasi manusia.

Di sudut ini, pengguna boleh mendapatkan bahan bacaan serta informasi berguna secara percuma mengenai hak asasi manusia seperti hak sebagai pekerja, hak kepada air, hak kaum asli, maklumat mengenai gangguan seksual di tempat kerja dan pelbagai lagi. Menurut wakil dari SUHAKAM iaitu En. Shamsul, sudut hak asasi ini dijangka akan berlangsung sehingga Oktober dan perancangan aktiviti lain seperti taklimat kesedaran hak asasi manusia bersama pelajar dan staf juga bakal diadakan sebagai salah satu inisiatif untuk memberi kesedaran mengenai hak asasi manusia.

Tambah beliau lagi “SUHAKAM mempunyai empat fungsi utama iaitu untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia, untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan, tatacara pentadbiran, mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil, selain itu juga SUHAKAM juga berperanan mengesyor kepada kerajaan mengenai penandatanganan atau penyerahan dalam perjanjian triti, suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia dan yang terakhir adalah untuk menyiasat aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia. Memandangkan adanya keperluan untuk menggalakkan kesedaran dan memberikan pendidikan hak asasi manusia kepada setiap rakyat demi kesejahteraan mereka, SUHAKAM telah ditubuhkan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai hak-hak ini”.

Mengetahui hak masing-masing adalah sangat dituntut kerana jika hak diketahui maka keadilan dapat diberi dan dituntut dengan menggunakan saluran yang betul. Oleh itu, SUHAKAM amat komited dalam menyampaikan maklumat-maklumat kesedaran ini kepada semua lapisan masyarakat. Melalui Sudut Hak Asasi ini, diharap semua pengguna dan pembaca dapat memanfaatkan maklumat yang diberi secara percuma ini dalam menegakkan hak asasi manusia di masa akan datang. Terima kasih SUHAKAM!.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraini Alias