PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH (PSB) TURUN PADANG BANTU MANGSA BANJIR

PSB Online: Pada Khamis, 5 Disember 2024, diketuai oleh En. Nor Hardi Saad, Penolong Ketua Pustakawan bersama 22 orang staf PSB telah berjaya menjalankan bantuan mencuci rumah dan barang-barang serta halaman di dua (2) buah rumah yang terletak di Kampung Alor Gunong, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Seluruh kampung dan kawasan berdekatan sehingga ke kawasan Gunong Keriang dan beberapa daerah seluruh Kedah telah dinaiki banjir sejak 28 November 2024 dan beransur surut pada 6 Disember 2024.

Puan Roshadah, 80 tahun sangat berterima kasih kepada pasukan PSB yang sanggup bersusah payah membersihkan rumah beliau dan rumah jiran dan ini dapat meringankan beban beliau dan ahli keluarga. Seorang lagi mangsa banjir, Puan Syazwani Saad juga sangat-sangat bersyukur dengan kehadiran pasukan PSB membantunya dan keluarga membersihkan rumah dan barang-banrang yang dipenuhi selut yang tebal. Beliau mengalami anggaran kerugian sebanyak RM10,000.00, termasuk sebuah motosikal yang ditenggelami air banjir yang tidak sempat diselamatkan.

Penglibatan PSB dalam kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa banjir berkenaan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Banyak juga kerugian dialami oleh mereka, teruatama barang-barang perabot dan barangan elektrik. Namun kehadiran pasukan PSB ini sangat dihargai kerana dapat meringankan beban dalam membersihkan rumah dan semua barang yang diselaputi selut tebal dan memerlukan ramai orang untuk dibersihkan. Syukur kepada Allah kerana PSB diberi kesempatan dan berjaya meringankan beban mangsa-mangsa banjir pada tahun ini.

Turut menyertai kerja-kerja pembersihan rumah, barang-barang dan halaman dua rumah berkenaan adalah Ketua Pustakawan sendiri, Prof. Dr. Che Azlan Taib. Penglibatan beliau bersusahpayah bersama pasukan PSB sangat bermakna dan boleh dicontohi oleh semua staf PSB dalam meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Diharapkan usaha-usaha misi bantuan sebegini dapat dijadikan budaya semua staf PSB dan warga Universiti Utara Malaysia pada masa akan datang.

-Tamat-

 

Disediakan oleh:

Hasma Binti Haji Harun
Bahagian Komunikasi Korporat