UUM ONLINE: Bersempena dengan Pesta Buku Utara 2020, Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun di foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, semalam.
Penasihat Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Bercerita & Berbalas Pantun, Asmaniza Mansor berkata, objektif pertandingan ini adalah untuk memelihara khazanah warisan bangsa supaya tidak dilupakan oleh generasi muda serta mengaplikasikan kemahiran berbahasa dengan menggunakan daya fikir secara kreatif dan kritis.
“Pertandingan kali ini bertemakan Budaya Membaca, Bahasa Jiwa Bangsa, Pendidikan Cemerlang, Perkasa Budaya dan Mahasiswa Holistik.
“Pertandingan ini disertai 5 kumpulan iaitu kumpulan Seri Gading dan Tiga Sekawan yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Utara Malaysia dan 3 kumpulan, Sanggar Mustika, Lentera Utara, dan Dang Raya Rani dari penuntut Institut Pendidikan Guru, Kampus Darulaman, Jitra.
Pertandingan ini diadili oleh dua juri, Dr. Nor Hasimah Ismail, pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, UUM dan Dr. Melor Fauzita Md. Yusoff pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun Dan Falsafah, UUM.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pustakawan, Razak Siamin menyampaikan hadiah kepada kumpulan Sanggar Mustika yang muncul juara membawa pulang wang tunai RM300 dan sijil penghargaan diikuti kumpulan Dang Raya Rani dari IPG Darulaman (RM250) dan kumpulan Seri Gading dari UUM (RM200).
Manakala pemantun terbaik dimenangi oleh Intan Atikah Abd Razak, pelajar IPG Darulaman yang membawa pulang wang tunai RM100.
Disediakan Oleh: Wan Nur Syamimi Wan Azham
Gambar oleh: Perpustakaan Sultanah Bahiyah