PERTANDINGAN MENYUSUN BUKU MERIAHKAN HARI TERBUKA PERPUSTAKAAN 2019

SintokBaru–baru ini pada 14 Oktober 2019 (Isnin) Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB)  telah menganjurkan ‘Hari Terbuka Perpustakaan’  yang telah berlangsung  bermula 13 Oktober  sehingga 17 Oktober 2019.

Pelbagai acara menarik  berbentuk informatif dan interaktif telah diadakan sepanjang tarikh ini dan salah satunya adalah ‘Pertandingan Menyusun Buku’. Pertandingan ini adalah julung kali diadakan dan ianya peserta yang terlibat adalah di kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga merupakan pengguna PSB. Objektif utama pertandingan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada pengguna PSB mengenai kaedah penyusunan buku yang betul di perpustakaan akademik seperti PSB dilakukan bagi memudahkan pencarian dan rujukan kepada bahan tersebut.

Antara syarat pertandingan ini adalah penyertaan adalah secara berpasangan iaitu 2 orang dalam satu kumpulan dan masa yang diberikan adalah 15 minit sahaja untuk mereka menyusun sebanyak 35 buah buku di atas troli yang disediakan. Sebelum bermula, satu sesi penerangan mengenai kaedah susunan yang betul telah diberi terlebih dahulu oleh urusetia yang bertugas sebelum peserta memulakan tugasan pertandingan. Jawatankuasa Hari Terbuka PSB telah melantik Encik Ku Rosyidi Bin Ku Md Razi iaitu Pustakawan dari Bahagian Teknik dan Pemerosesan dan Cik Nur  Darina Khairil Anwar yang juga Pustakawan dari Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca PSB sebagai juri pertandingan kali ini.

Seramai 80 orang pelajar telah mengambil bahagian di mana  2 orang daripadanya adalah merupakan pelajar antarabangasa dari negara Yaman dan Jepun. Pertandingan ini telah dimenangi oleh pasangan Cik Kawaguchi Maya dari Pusat Pengajian Pengurusan dan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar  dan Cik Eh Yee Chen dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan yang telah berjaya menyusun semua buku dengan betul dengan kepantasan masa 1 minit 52 saat sahaja. Tempat kedua pula dimenangi oleh pasangan Cik Marina Syahirah Amir Syakir Tufail dan Cik Ong Sim Hui dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan dengan catatan masa sebanyak 2 minit 20 saat dan tempat ketiga dimenangi oleh pasangan Cik Yeong Sze Ting dan Cik Hu Wai Ni dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik  dengan catatan masa 2 minit 25 saat. Sebanyak 3 hadiah utama berupa hamper telah disediakan kepada semua pemenang dan mata merit juga diberikan kepada semua pelajar yang mengambil bahagian dalam menjayakan aktiviti ini.

Pertandingan ini telah berlangsung di foyer perpustakaan bangunan utama PSB bermula seawal jam 9.30 pagi dan tamat sekitar jam 4.30 petang. Sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang pula akan dilakukan pada hari penutup program ini iaitu pada 17 Oktober 2019 dan akan  disempurnakan oleh Ketua Pustakawan PSB iaitu Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa.

 

Disediakan  dan gambar oleh : Azniza Binti  Ahmad