PKPB BENARKAN STAF BERGOTONG-ROYONG BERSIHKAN BANGUNAN DAN PEJABAT

Sintok  Selepas hampir dua bulan pejabat ditutup ekoran  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia, akhirnya pada 13 Mei 2020, Perpustakaan Sultanah Bahiyah  (PSB) telah dibuka semula untuk kakitangan  hadir bertugas ekoran pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan hampir keseluruhan sektor ekonomi untuk mula beroperasi. Selepas pengumuman  itu, pihak Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengeluarkan notis pembukaan universiti kepada warga kerjanya untuk kembali bekerja di pejabat seperti sebelum ini. Walaupun begitu, para pekerja telah diingatkan untuk mematuhi garis panduan keselamatan menghadapi virus ini yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga  pihak  Pusat Kesihatan  Universiti Utara Malaysia (PKU UUM) seperti mematuhi penjarakkan sosial, memakai pelitup mulut dan hidung dan lain-lain lagi.

Sebagai langkah permulaan memasuki semula bangunan yang hampir dua bulan ditinggalkan sepi ini,  maka satu aktiviti gotong-royong pembersihan telah diarahkan oleh pihak pengurusan PSB untuk membersihkan ruang pejabat dan peralatan di ruang kerja masing-masing.  Untuk tujuan ini, semua staf PSB telah dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan A  yang hadir pada 13 Mei 2020 untuk pembersihan bangunan Utama PSB dan juga kumpulan B yang akan melakukan aktiviti sama pada 14 Mei 2020 bagi Bangunan Tambahan PSB. Tujuan utama aktiviti gotong royong pembersihan ini dilakukan adalah untuk membersih semua ruang kerja dan peralatan dari habuk dan gangguan tikus serta pada masa yang sama memeriksa dan melaporkan segala kerosakkan peralatan sekiranya ada.

Sebagai persediaan pembersihan, pihak pentadbiran PSB telah menyediakan peralatan-peralatan pembersihan seperti sarung tangan getah, sarung tangan kain, pelitup mulut dan hidung,  botol penyembur dan cairan pembersih. Sebelum semua kakitangan memulakan aktiviti pembersihan, satu taklimat tentang tatacara pembersihan dan agihan peralatan telah disampaikan oleh Puan Rahimah Ishak, Penolong Pustakwan Kanan bertempat di Foyer PSB pada jam 8.45 pagi. Sebagai panduan menggunakan cecair pembersih dengan betul, satu demo menggunakan botol penyembur dan kain pembersih dengan cara yang betul juga telah ditunjukkan oleh Puan Norlizawati wakil dari Uniutama Property Sdn Bhd  (UPSB).

Selesai taklimat, kesemua staf bergerak ke pejabat masing masing dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan. Keseluruhannya, hasil daripada pemeriksaan dalam aktiviti pembersihan ini, terdapat pejabat yang mengalami kerosakan seperti kerobohan siling, barang barang yang berselerakkan akibat serangan tikus yang merosakkan peralatan staf, dan  juga  kerosakkan sudut  santai 5S , Zon Zamrud di aras  satu Bangunan Tambahan PSB. Walaubagaimanapun, segala tindakan pembaikan dan pemulihan telah berjaya diambil dengan secepat mungkin bagi menjamin keselesaan staf.

Acara gotong royong pembersihan ini telah berakhir pada hari Khamis 14 mei 2020 sekitar jam 3.00 petang. Semoga semua warga kerja PSB berasa selamat, selesa, gembira dan bersemangat untuk kembali menyambung kerja-kerja yang tertangguh akibat PKP dulu.

Selamat kembali bertugas  semua.

 

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar : Azniza Ahmad dan Mazyana Hashim