PROF. EMERITUS DATO’ DR. MOHD YUSOF HASSAN SUMBANG BAHAN UNTUK KOLEKSI KHUSUS PSB

PSB Online: Satu lawatan kerja ramah mesra ke rumah bekas pesara UUM, Yang Berbahagia Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hassan telah diadakan pada 26 November 2020, Khamis yang lalu di rumah beliau iaitu di Taman Bukit Indah, Jitra Kedah.

Lawatan ini adalah inisiatif Unit Koleksi Khusus, Bahagian Sumber Ilmu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang diketuai oleh Pn Rahimah Ishak bersama-sama beberapa orang staf beliau iaitu Pn. Roziah Taib dan Pn. Maziana Bakar. Tujuan lawatan ini adalah untuk beramah mesra dengan beliau di samping menerima sumbangan koleksi peribadi serta koleksi dalam simpanannya yang sangat berharga dan unik untuk dijadikan sebagai koleksi PSB. Selain itu, pihak PSB juga amat bertuah kerana dapat mengenal dengan lebih dekat lagi figura ini yang dirasakan amat cocok sekali untuk dijadikan contoh kepada pelajar UUM sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

Menurut Pn. Rahimah “PSB memilih beliau sebagai tokoh yang patut dijadikan contoh kerana beliau banyak terlibat dalam penyelidikan kesusasteraan dan telah menghasilkan banyak buku dan kertas ilmiah dengan lebih daripada 10 buah buku, lebih daripada 200 esei akademik, lebih daripada 100 kertas kerja, dan lebih daripada 300 ceramah yang berkaitan kesusasteraan, motivasi, pendidikan dan pembangunan pemikiran telah diberikan”. Antara tulisan dan kajian yang pernah dihasilkan oleh beliau adalah Novel of the Troubled Years (1990), Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (1990), Dunia Melayu (1990), Pengabdian (1990), Tiga Dunia: Cerpen Psikologi Kanak-kanak (1990), Pengenalan Fiksyen Dunia (1990), Pemikiran Mahathir Mohamed: Kesinambungan Gelombang Keintelektual Melayu Global Dari Abdullah Munsyi dan Za’aba (2008) dan banyak lagi. Selain itu, beliau juga terlibat aktif di dalam Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) dan ternyata ianya tidak sia-sia apabila beliau telah berjaya mendapat beberapa pengiktirafan setimpal iaitu dianugerahi dengan darjah kebesaran Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) pada tahun 1986, Ahli Mahkota Kedah (AMK) dan Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1988 serta mendapat gelaran Dato’ Setia DiRaja Kedah (DSDK) pada tahun 2000. Selain itu juga, pada tahun 1988 beliau telah dianugerahi sebagai Tokoh Guru Kedah.

Bercakap lanjut mengenai pembangunan Koleksi Khusus di bawah penyeliaannya, Pn. Rahimah Ishak berkata “semua bahan yang telah diperolehi akan didigitalkan dan akan dimuatnaik ke laman sesawang PSB agar dapat diakses oleh semua”. Tambah beliau “ ini adalah salah satu inisiatif PSB untuk memartabatkan golongan ilmuan agar dapat menjadi teladan kepada generasi muda untuk mengukir nama di pentas kejayaan suatu masa nanti”. Selain itu juga, koleksi yang bakal dibangunkan ini juga adalah amat bermanfaat kepada semua kerana ianya bakal disediakan secara atas talian. Menurut beliau lagi, lawatan susulan akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk proses pengumpulan maklumat seterusnya.

Lawatan ini berakhir sekitar jam 12 tengahari.

 

 

Disediakan dan gambar oleh: Maziana Bakar

Disunting oleh: Noraini Alias