PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT : PSB BANTU GOLONGAN TERJEJAS AKIBAT PKP

26 Mac 2020 – Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia yang telah berkuatkuasa bermula 18 hingga 14  April 2020 adalah satu usaha untuk melawan serangan pandemik wabak penyakit berjangkit Covid 19 yang telah menular ke seluruh dunia dan Malaysia adalah tidak terkecuali.

Pengisytiharan ini, telah menjejaskan semua rakyat Malaysia ekoran larangan untuk bekerja seperti biasa oleh kerajaan dan hanya pekerjaan yang melibatkan servis asas sahaja dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa seperti perkhidmatan kesihatan, kewartawanan dan lain-lain lagi.

Ekoran itu, ianya turut meninggalkan impak besar kepada pekerja di Universiti Utara Malaysia (UUM) terutama peniaga-peniaga kecil dan juga petugas pembersihan yang rata-ratanya bergantung hidup  dan mencari makan di dalam UUM. Oleh yang demikian, satu inisiatif program khidmat masyarakat telah berjaya dilaksanakan oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bagi membantu golongan ini. Usaha murni ini adalah idea asal Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa dan ianya melibatkan kutipan dana di kalangan pegawai PSB mengikut keikhlasan hati dan kemampuan masing-masing.

Dalam tempoh yang sekejap sahaja, sebanyak RM3,300 dana telah berjaya dikumpul dan telah diagihkan kepada 33 penerima yang terlibat. Mereka telah menerima bantuan berupa bekalan makanan asas seperti beras, tepung, gula, minyak dan lain-lain lagi.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada En. Razak Siamin dan keluarga kerana bertungkus-lumus dan sudi menguruskan pengagihan dana ini dengan sukarela di waktu PKP yang mengehadkan pergerakan semua dan terdedah kepada risiko terjangkiti oleh wabak penyakit Covid 19 ini. Menurutnya, beliau amat berbesar hati dapat membantu meringankan beban golongan yang terlibat dan beliau ingin menyampaikan sumbangan ini dengan secepat mungkin kepada mereka yang terjejas dengan kerjasama pembekal kedai runcit di sekitar Changlun yang juga adalah kenalan baik beliau.

Semoga dengan sumbangan yang telah diberikan ini sedikit sebanyak dapat melegakan hati mereka yang terjejas dek kerana kehilangan punca pendapatan sehingga berakhirnya tempoh PKP nanti.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Razak Siamin