PROGRAM LAWATAN ILMU : MENELUSURI DUNIA PERPUSTAKAAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH SAINS KUBANG PASU DALAM PENGGUNAAN SISTEM PERPUSTAKAAN DIGITAL

PSB ONLINE: Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan jayanya telah menganjurkan program Lawatan Ilmu: Menelusuri Dunia Perpustakaan bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Kedah pada 27 April 2025.  Program yang bermakna ini telah diadakan di Makmal 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pada jam 2.00 petang hingga 5.00 petang, dan telah menyaksikan penyertaan seramai 43 orang pelajar serta 5 orang guru pengiring dari sekolah tersebut.

Program ini dimulakan dengan bengkel bertajuk “Be the Brain Behind the Books: Fundamental Concept of a Library” yang menampilkan Puan Fadzilah Hussin, seorang pustakawan berpengalaman dari Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Pengguna, sebagai penceramah utama. Dalam sesi ini, beliau berkongsi ilmu dan pengalaman mendalam  berkaitan konsep asas perpustakaan, pengenalan kepada sistem perpustakaan digital, sistem pengurusan perpustakaan, serta strategi pengurusan dan penyediaan kemudahan perpustakaan akademik secara efektif dan efisien. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan awal dan kefahaman yang menyeluruh kepada para peserta mengenai peranan penting perpustakaan dalam menyokong proses pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan ilmu di institusi akademik.

Sepanjang bengkel berlangsung, para pelajar dan guru telah didedahkan dengan pelbagai maklumat baharu yang merangkumi konsep asas perpustakaan, sistem perpustakaan digital, sistem pengurusan perpustakaan, serta aspek pengurusan dan kemudahan perpustakaan akademik. Segala input yang diterima amat bermanfaat, khususnya kepada para pelajar yang juga merupakan pengawas pusat sumber sekolah berkenaan. Selain sesi penerangan, bengkel ini turut diserikan dengan aktiviti menarik seperti menyusun buku mengikut call number. Walaupun kelihatan mudah, aktiviti ini memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar untuk memahami dan mengaplikasikan sistem pengelasan buku yang berbeza daripada kebiasaan di pusat sumber sekolah, iaitu menggunakan Library of Congress Classification (LCC).

Setelah bengkel berakhir pada pukul 5.00 petang, Puan Fadzilah membawa para pelajar dan guru untuk mengunjungi rak buku terbuka yang terletak di aras lantai bawah Bangunan Tambahan, PSB. Di sana, mereka berpeluang melihat secara langsung cara susunan buku yang teratur mengikut sistem Library of Congress Classification (LCC). Lawatan ini memberikan pengalaman berharga, di mana para peserta dapat memerhatikan dengan lebih dekat bagaimana setiap buku disusun dengan teliti mengikut kategori dan sub kategori, yang memudahkan pencarian dan rujukan. Pengalaman ini pastinya memberi kefahaman lebih mendalam tentang pentingnya sistem pengurusan perpustakaan yang berstruktur, teratur dan sistematik.

Dengan penganjuran program ini, diharapkan para pelajar dapat mengenali pelbagai sumber rujukan yang terdapat di PSB, serta memperluas pengetahuan mereka mengenai sistem pengurusan perpustakaan yang berkesan. Program ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran dalam penggunaan Sistem Perpustakaan Digital, sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh di pusat sumber sekolah mereka. Melalui pengalaman ini, diharapkan juga para pelajar bukan sahaja lebih mahir dalam mengakses dan menggunakan sumber rujukan, tetapi juga dapat menyumbang kepada pengurusan dan organisasi perpustakaan atau pusat sumber  sekolah mereka dengan lebih efisien, seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Disediakan oleh : Nurul Syafika Binti Che Zin
Pelajar latihan industri
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf bin Syed Ismail