PROGRAM MAMACARE KELUARGA CERIA TANPA STRESS BERI PENDEDAHAN KAEDAH PENGAWALAN STRES

PSB Online – Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah membawakan satu program khas iaitu Program MAMACARE Keluarga Ceria Tanpa Stress anjuran Persatuan MAMACARE Malaysia dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

MamaCare merupakan satu Perkhidmatan Penjagaan Ibu Selepas Bersalin yang bertujuan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan reproduktif wanita dan keluarga. Program latihan kapasiti ini juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsan (NBOS) iaitu 1Malaysia Women’s Initiative for Self-Empowerment (1MWISE).

Pada 12 Mei 2022 yang lalu, satu Program MAMACARE Keluarga Ceria Tanpa Stres telah diadakan di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB. Program ini telah dihadiri oleh 43 orang peserta wanita yang terdiri dari kalangan warga PSB. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan tubuh badan melalui urutan tradisional. Selain itu juga, ia bertujuan untuk membantu peserta mengurangkan tekanan untuk mewujudkan suasana harmoni di dalam keluarga dan masyarakat.

Stres adalah tindak balas fizikal (badan) dan emosi (perasaan) dan mental (pemikiran) kepada perubahan. Contoh tindak balas fizikal adalah seperti rasa lapar dan badan mengigil. Manakala tindak balas emosi adalah berbentuk perasaan marah, geram, benci atau sedih. Tindak balas mental pula adalah seperti merasa diri telah gagal serta ingin membunuh diri.

Semasa program, peserta ditunjukkan cara-cara menghilangkan stress melalui kaedah urutan. Urutan adalah satu proses sentuhan dan tekanan menggunakan ibu jari, jari jemari, tapak tangan, buku lima, lengan, siku jari dan siku berpandukan kepada ilmu dan amalan urutan tradisional Melayu. Antara urutan adalah di kawasan muka, bahu dan leher serta urutan di tapak tangan. Peserta juga berpeluang mempraktikkan kaedah urutan tersebut sesama mereka bertujuan agar dapat mengingati kaedah yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan di luar program kelak. Dengan urutan ia mampu melegakan stress, mengaktifkan sistem saraf tubuh, meredakan ketegangan otot, memperbaiki sistem pernafasan serta dapat meningkatkan pengaliran darah.

Empat fasilitator terlibat adalah ahli bertauliah MAMACARE negeri Kedah iaitu Pn. Siti Norhaziemah Manaf, Pn. Noor Faizah Dahalan, Pn. Rahayu Azura Ramli dan Pn. Haniza Mohammad Arif. Sepanjang program berlangsung, fasilitator banyak berkongsi ilmu pengetahuan kepada semua peserta. Mereka berharap ilmu yang diperolehi dapat dipraktikkan untuk melahirkan keluarga sihat yang bebas stres.

Pihak BAKAL dan semua peserta amat berterima kasih dan bertuah kerana terlibat di dalam program ini. Program ini tamat sekitar jam 1.00 tengahari.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Abdul Hadi Mat Taib & peserta bengkel